KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa seluruh rakyat Johor, khususnya pengundi Melayu supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta membuat pilihan berdasarkan rekod, integriti, keupayaan dan komitmen calon.
Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, hak mengundi bukan sekadar kewajipan sebagai warganegara, malah merupakan amanah besar dalam menentukan hala tuju pentadbiran negeri dan masa depan generasi akan datang.
Menurut beliau, penyertaan aktif masyarakat Melayu dalam proses demokrasi amat penting bagi memastikan suara mereka terus diwakili secara berkesan dalam sistem politik negara, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip demokrasi berparlimen.
“Justeru, Perkasa menyeru agar pengundi membuat pilihan secara bijaksana berdasarkan rekod, integriti, keupayaan dan komitmen calon dalam mempertahankan kepentingan rakyat, memelihara kestabilan negeri, menjunjung kedaulatan Perlembagaan Persekutuan, serta memartabatkan kedudukan agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan hak-hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azrol berkata, Perkasa turut mengingatkan bahawa perpecahan dalam kalangan rakyat, sikap tidak mengambil peduli serta kegagalan keluar mengundi hanya akan melemahkan suara rakyat dalam menentukan masa depan negeri.
Menurutnya, rakyat Johor perlu membuktikan kematangan dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dengan menggunakan hak mengundi sebaik-baiknya.
“Gunakan hak mengundi dengan sebaik-baiknya demi memastikan Johor terus aman, stabil, makmur dan berdaulat,” katanya. – MalaysiaGazette
















