Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran hadir ke ceramah PRN Johor bersama Datuk Onn Hafiz.
JOHOR BAHRU – Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, merayu pengundi memberikan sokongan dan mandat kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, keputusan yang bakal dibuat oleh pengundi bukan sahaja menentukan wakil rakyat yang akan dipilih, malah hala tuju Johor untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Esok, Bangsa Johor akan membuat satu keputusan yang amat besar. Keputusan yang bukan sahaja menentukan siapa yang akan dipilih, tetapi juga menentukan arah perjalanan negeri yang kita cintai ini untuk lima tahun akan datang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Onn Hafiz berkata, sepanjang lebih empat tahun menerajui pentadbiran negeri, beliau bersama barisan Kerajaan Negeri telah berusaha sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Johor.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak terlepas daripada kelemahan dan kesilapan sepanjang memikul amanah sebagai Menteri Besar.

“Saya sedar saya bukan pemimpin yang sempurna. Sepanjang memikul amanah ini, sudah tentu ada kelemahan, kekurangan dan kesilapan.

“Atas segala kekurangan itu, saya dengan penuh rasa rendah hati memohon ampun dan maaf kepada seluruh Bangsa Johor,” tambah beliau.

Beliau berkata, setiap amanah yang diberikan perlu disertai dengan kesediaan untuk terus belajar dan memperbaiki diri demi kepentingan rakyat.

Sehubungan itu, beliau merayu pengundi memberi peluang kepada calon-calon BN untuk meneruskan agenda pembangunan negeri sekiranya mereka melihat keikhlasan usaha kerajaan sepanjang tempoh pentadbiran lalu.

“Tetapi, sekiranya saudara dan saudari melihat masih ada keikhlasan dalam usaha kami berkhidmat, maka dengan penuh rasa rendah diri saya memohon sokongan dan mandat kepada calon-calon Barisan Nasional di kawasan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor atas sokongan, teguran, doa dan kepercayaan yang diberikan kepada beliau serta kepimpinan kerajaan negeri sepanjang empat tahun lalu.

Beliau turut mendoakan agar Johor terus diberkati dan rakyat diberikan petunjuk untuk membuat pilihan terbaik pada hari pengundian.

“Semoga Allah SWT memberkati Bangsa Johor, memelihara negeri yang kita kasihi ini dan mengurniakan petunjuk kepada kita semua untuk membuat keputusan yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor atas sokongan, teguran, doa dan kepercayaan yang diberikan kepada beliau serta kepimpinan kerajaan negeri sepanjang empat tahun lalu.

Beliau turut mendoakan agar Johor terus diberkati dan rakyat diberikan petunjuk untuk membuat pilihan terbaik pada hari pengundian.

“Semoga Allah SWT memberkati Bangsa Johor, memelihara negeri yang kita kasihi ini dan mengurniakan petunjuk kepada kita semua untuk membuat keputusan yang terbaik. Insya-Allah.

“Pilihlah Barisan Nasional. Pangkah Dacing. HIDUP BN! HIDUP BN! HIDUP BN! Allah Peliharakan Sultan, Allah Berkati Johor, Kepada Allah Kita Berserah,” tulisnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast