Penduduk tempatan, Samsuri Othman, 64, bercakap pada media ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekitar Senggarang, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JULAI 2026.

BATU PAHAT – Ketika semua calon dan jentera parti sibuk menggandakan hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, seorang warga emas memilih memandu sendirian meluahkan rasa kecewa terhadap senario politik negara.

Tanpa menerima sebarang tajaan daripada mana-mana parti politik, Samsuri Othman, 64, berkata segala perbelanjaan ditanggung sendiri sepanjang lima hari protes yang dilakukan di sekitar Batu Pahat.

Reaksi Penduduk tempatan, Samsuri Othman, 64, memandu van dipenuhi poster mengkritik politik negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekitar Senggarang, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JULAI 2026.

“Ini adalah sebagai tanda jeritan seorang rakyat yang dah lama rasa tertekan melihat pemimpin kerajaan lawan kerajaan menyebabkan PRN diadakan sehingga duit rakyat terbuang begitu sahaja.

“Semua nak gila kuasa, di mana maruah kita? Di peringkat Persekutuan makan sama, tapi di sini bertembak (bergaduh) dan saya sedih melihat budaya politik begini sampai kita pun hilang maruah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Senggarang di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun memasang bendera Perikatan Nasional (PN) di van dipandunya, tindakan itu dibuat atas pendirian peribadi dan bukannya mewakili mana-mana parti walaupun dipenuhi pelbagai poster dengan tulisan mengkritik politik negara.

Reaksi Penduduk tempatan, Samsuri Othman, 64, memandu van dipenuhi poster mengkritik politik negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekitar Senggarang, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JULAI 2026.

Antaranya, ialah seperti “Melayu Mudah Lupa”, “Gomen Lawan Gomen – Duit Rakyat Yang Habis”, “Melayu Tidur!!!”, “Tabung Haji Terjual!!!”, “Turun Tetap Turun”, “Turunkannnn” serta poster bergambar pemimpin politik dan beberapa slogan lain yang mencerminkan pandangan peribadinya.

Bekas pemandu lori itu berkata, protes kempen kali ini merupakan kali keempat dilakukan secara sukarela selepas pernah berbuat demikian pada pilihan raya sebelum ini.

Penduduk tempatan, Samsuri Othman, 64, melekatkan poster menuntut keadilan di van miliknya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekitar Senggarang, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JULAI 2026.

“Sepanjang tempoh PRN kali ini, saya menjelajah hampir seluruh Batu Pahat pada waktu siang dan malam menggunakan duit poket saya sendiri.

“Pemimpin politik semua parti sepatutnya lebih mengutamakan kepentingan rakyat, memperkukuh tadbir urus dan memulihkan keyakinan terhadap institusi negara bukannya mengheret rakyat dalam politik pembaziran,”. – MalaysiaGzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast