Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir pada Ceramah Grand Finale Johor Ke Depan Undi Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Pasir Gudang, Johor. Foto SADIQ SANI, 10 JULAI 2026.

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,

Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar mandat yang diberikan rakyat dimanfaatkan sebaik-baiknya demi kepentingan negeri dan rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, dengan berakhirnya pilihan raya, menandakan bermulanya tanggungjawab untuk semua pihak memberi tumpuan kepada khidmat dan amanah kepada rakyat serta bersama-sama membangunkan Johor.

“Pilihan raya dan pesta demokrasi telah pun melabuhkan tirainya. Kini adalah masa untuk kita melangkah ke depan, mengutamakan khidmat dan amanah kepada rakyat serta bersama-sama membina sebuah Johor yang lebih makmur dan maju,” menurut beliau dalam satu kenyataan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi Johor yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, selain menghargai komitmen jentera parti yang bekerja keras sepanjang kempen pilihan raya.

Anwar turut meminta, semua calon PH, sama ada yang menang atau tewas, diminta meneruskan khidmat kepada rakyat dan terus membawa suara mereka.

“Tekad kami jelas, semua calon Harapan, tidak kira yang menang mahupun tewas, diminta untuk meneruskan khidmat membawa suara rakyat,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, Kerajaan Persekutuan kekal komited untuk memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat Johor terus diperkasakan dan ditambah baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast