SIMPANG RENGGAM – Proses membuang undi menjadi memori indah buat Renie Nur Elfiyanis Lukman Hasan.
Bukan hanya pertama kali dapat mengundi tetapi Renie Nur Elfiyanis, 21, juga merupakan pengundi pertama yang hadir di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tuan Poon, di sini.
“Saya teruja sebenarnya bila boleh mengundi. Saya bangun pagi, tak sempat make up pun, terus saja datang ke sini sebab saya nak jadi yang pertama.
“Orang kata early bird catches the worm, kan? Jadi, saya pergi awallah,” kata pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu.
Masih dalam cuti semester, Renie Nur Elfiyanis tidak akan melupakan pengalaman pertama sebagai pengundi dan akan memastikan tanggungjawab itu akan terus dilaksanakan selepas ini.
Berkongsi kegembiraan, R. Rahtidevi, 42, yang bertugas sebagai guru di Singapura juga akhirnya mendapat kelulusan bercuti untuk mengundi.

“Saya bertugas di pusat penjagaan di Singapura. Rasa seronok kerana akhirnya bos bagi cuti hari ini. Saya mengajar di sebuah pusat penjagaan di Singapura.
“Kebiasaan hari Sabtu adalah hari bekerja tetapi untuk mengundi, saya dapat cuti dan terus pulang ke Simpang Renggam malam tadi untuk menjalankan tanggungjawab.
“Saya rasa seronok dan sangat berbangga kerana akhirnya dapat juga mengundi,” katanya yang sudah tiga tahun mencari rezeki di Singapura.
Katanya, dia tidak akan melepaskan peluang kali ini untuk negeri tercintanya dan memilih pemimpin yang akan memajukan lagi Johor.
Seorang lagi pengundi dari Seremban, Negeri Sembilan, Mohd Kausar Shahrani,31, juga tidak melepaskan peluang pulang ke kampung mengundi pada hari ini.

“Saya bertolak dari Seremban jam pukul 4.30 pagi tadi, singgah solat Subuh di Melaka dan terus gerak ke sini. Saya memang balik kampung hanya untuk mengundi dan akan terus balik selepai selesai semuanya,” katanya yang bertugas di Putrajaya.
Katanya, proses mengundi sangat mudah dan selesai sekitar 10 minit sahaja
“Alhamdulillah, tadi tak perlu beratur sebab masih belum ramai, kalau ada pun tiga orang sahaja, termasuk saya. Sebelum ni pernah datang mengundi tapi beratur sangat panjang, saya ambil keputusan datang awal pagi untuk elak ramai orang,” ujarnya.
Sementara itu, bagi pasangan anak beranak itu, dapat mengundi bersama-sama juga pengalaman bermakna buat mereka.

Cheow Sit Keen, 43 seorang pengusaha kedai makan berkata, peluang bersama-sama anaknya Go Yi Xin, 20, keluar mengundi pada waktu pagi memudahkan kerjanya selepas ini.
“Kedai makan saya buka 12 tengahari, jadi kami datang awal sebab tak ganggu nak berniaga. Anak pun seronok dapat undi hari ini,” katanya.
Menurut Yi Xin pula, pengalaman keluar awal pagi untuk mengundi sangat menyeronokkan.
“Saya ikut ibu, sangat excited. Saya sudah selesai tanggungjawab, harap-harap lagi ramai orang mengundi,” katanya.
Hari ini merupakan hari mengundi untuk lebih 2.7 juta daftar pemilih untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Seramai 172 calon bertanding untuk mencari tempat di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebanyak 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,889 saluran dibuka serentak bagi membolehkan rakyat negeri ini menentukan mandat baharu di 56 kawasan DUN selepas berakhirnya tempoh berkempen 14 hari, tengah malam tadi.
Pusat-pusat mengundi berkenaan akan ditutup secara berperingkat bermula 11 pagi hingga 6 petang ini mengikut lokasi, sebelum proses pengiraan undi dimulakan. -MalaysiaGazette
















