KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan migran warga Bangladesh dikenali sebagai ‘Geng Karim’.
Operasi dibuat menerusi serbuan di sebuah premis yang dijadikan lokasi persembunyian dan transit pendatang tanpa izin (PATI) di Cheras dekat sini pada Rabu lalu.
Dalam operasi kira-kira pukul 7.50 malam itu, seramai 16 warga asing terdiri daripada 15 lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Pakistan yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini berjaya ditahan.
Turut diberkas tiga lelaki warga Bangladesh yang disyaki berperanan sebagai ahli sindiket termasuk fasilitator dan penjaga rumah transit.
Siasatan awal mendapati kesemua migran terbabit dipercayai memasuki Malaysia pada hari yang sama melalui laluan haram di Pantai Timur sebelum dibawa ke Lembah Klang menggunakan jalan darat.
Menurut JIM, sindiket yang dipercayai aktif sejak Januari lalu menggunakan modus operandi membawa migran ke Kemboja sebelum diseludup ke selatan Thailand seterusnya memasuki Kelantan melalui laluan haram.
Sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran sehingga RM15,000 bagi setiap migran sekali gus dianggarkan meraih keuntungan kira-kira RM3.2 juta sepanjang tempoh operasi.
Salah seorang suspek yang ditahan dipercayai bertanggungjawab menyelaras operasi sindiket di Malaysia.
Pihak berkuasa turut menyita sebuah kereta sedan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.
Kesemua migran berusia antara 20 hingga 52 tahun itu kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
JIM akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta ATIPSOM. – MalaysiaGazette
















