SEGAMAT – Tongkat di tangan, kerusi roda ditolak perlahan namun tekad mereka tidak pernah goyah.
Tinjauan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Chi di sini mendapati warga emas membuktikan usia dan kudrat yang semakin terbatas bukan penghalang untuk menunaikan amanah sebagai pengundi.
Setiap langkah yang diatur pagi ini membawa bersama harapan buat masa depan Johor.
Manakala kelibat orang muda jarang kelihatan namun ada di kalangan mereka hadir awal menemani ahli keluarga.

Bagi Yong Ou Sou, 85, kehadiran awal di pusat mengundi bersama rakannya penting kerana memudahkan urusan pengundian.
Sepanjang hidup beliau tidak pernah ‘ponteng’ undi dengan melunaskan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Pagi-pagi kena terus datang, cuaca pun baik dan elak daripada perkara lain terjadi pula. Kami orang tua kena siap cepat lagi senang untuk orang muda pula,” katanya.

Bagi Mu Ah Lan,68, bertongkat bukan alasan untuk hadir lewat ke pusat pengundian.
Biar pun pergerakan agak terbatas namun beliau sanggup menempah perkhidmatan Grab supaya dapat menyelesaikan tanggungjawabnya.
Beliau yang hidup sebatang kara di sini berasa lega selepas sesi pengundian dilakukan.
“Ini kali kedua mengundi di sini, sebelum ini tempat lain. Kalau di kampung ada orang dapat tolong hantar dan ambil,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sementara itu bagi Fazilah Abdullah,56, berkata sesi pengundian hari ini berjalan lancar apabila digemani tiga orang anaknya.
“Alhamdulillah dapat mengundi dengan anak, penting kita sebagai ibu bapa pesan kepada anak suruh balik dan mengundi bersama-sama,” katanya lagi.

Selain itu Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazan Zahir Chek berkata, pihaknya membuat tinjauan di beberapa pusat mengundi mendapati keadaan trasi dan proses pengundian berjalan lancar.
Sebelum ini seramai 401 daripada 402 pengundi awal dalam kalangan pegawai dan anggota polis daerah Segamat selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.
Manakala seramai 184,467 pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab mereka di 111 pusat mengundi di seluruh daerah Segamat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Di DUN Jementah merekodkan jumlah pengundi tertinggi dengan 39,807 orang diikuti Kemelah (35,365), Pemanis (30,458), Buloh Kasap (28,958), Bekok (27,269) dan Tenang (22,610). – MalaysiaGazette















