Bibi Sunita Sakandar Khan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu segera mengumumkan pelan tindakan nasional bagi menangani budaya buli dan keganasan di sekolah susulan insiden tikam membabitkan seorang pelajar di Banting yang dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Wawasan Negara, Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, kejadian itu bukan lagi boleh dianggap sebagai kes jenayah biasa sebaliknya menjadi amaran budaya buli dalam kalangan pelajar semakin membimbangkan.

Katanya, sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk pelajar menuntut ilmu, namun tindakan membawa senjata dan mencederakan rakan sendiri menunjukkan wujud isu yang lebih besar serta memerlukan penyelesaian menyeluruh.

“Mengapa KPM dan Menteri Pendidikan masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung langkah segera bagi mengelakkan tragedi seumpama itu daripada berulang.

“Rakyat berhak mengetahui tindakan segera yang diambil kementerian, keberkesanan sistem pengesanan awal terhadap mangsa dan pelaku buli, jumlah kes buli yang tidak dilaporkan serta sama ada garis panduan keselamatan sekolah sedang dinilai semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, buli tidak boleh lagi dianggap sekadar pergaduhan remaja kerana pelbagai kes yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan keganasan di sekolah boleh mengakibatkan kecederaan serius, trauma berpanjangan malah kehilangan nyawa.

Bagi memperkukuh keselamatan di sekolah, Bibi Sunita mengemukakan tujuh cadangan termasuk penubuhan Pasukan Tindakan Khas Anti-Buli di setiap sekolah melibatkan guru, kaunselor, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), polis serta wakil komuniti.

Beliau turut mencadangkan saringan psikologi dan kesihatan mental secara berkala, penambahan kaunselor profesional, pelaksanaan sistem aduan digital yang selamat dan sulit, peningkatan rondaan polis di sekolah berisiko, program pendidikan karakter dan pengurusan emosi serta penguatkuasaan tindakan disiplin yang tegas berasaskan pemulihan.

Beliau menegaskan, keselamatan pelajar bukan isu politik, tetapi ia tanggungjawab bersama yang perlu diberi keutamaan demi memastikan setiap anak yang dihantar ke sekolah pulang dengan selamat.

Justeru, beliau menggesa Menteri Pendidikan tampil memberikan penjelasan kepada rakyat serta mengumumkan pelan tindakan nasional bagi membendung budaya buli, keganasan dan dendam dalam institusi pendidikan.

“Tiada kompromi terhadap keganasan di sekolah. Masa depan anak-anak Malaysia mesti dilindungi dengan tindakan yang tegas, berkesan dan menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast