BATU PAHAT – Seorang kerani kilang menjadi pengundi pertama tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senggarang kira-kira 30 minit sebelum pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi.
Ching Ming Hwee, 47, memilih untuk datang lebih awal kerana perlu masuk bekerja selepas selesai mengundi.
Menurutnya, mengundi adalah tanggungjawab setiap rakyat bagi menentukan masa depan negara dan negeri
“Saya datang awal sebab selepas ini perlu masuk kerja tapi sebelum itu kenalah selesaikan tanggungjawab mengundi dahulu sebelum memulakan tugas di kilang.
“Mengundi ini tanggungjawab kita sebagai rakyat jadi walau pun sibuk bekerja, saya tetap akan datang mengundi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pusat mengundi itu hari ini.
Ming Hwee berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini merupakan kali keempat dia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Tinjauan di SMK Senggarang mendapati beberapa pengundi mula hadir seawal 7.40 pagi dan menunggu di saluran masing-masing sementara menunggu pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi.
Pusat Mengundi SMK Senggarang menempatkan dua saluran dengan seramai 1,145 pemilih berdaftar dijadual menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.
DUN Senggarang yang mempunyai 38,576 pemilih berdaftar menyaksikan persaingan tiga penjuru antara penyandang Mohd Yusla Ismail (Barisan Nasional), Onn Abu Bakar (Pakatan Harapan) dan Datuk Mohd Rashid Hasnon (Perikatan Nasional).
Pertembungan itu menjadi antara tumpuan PRN Johor kali ini kerana menemukan Ahli Parlimen Batu Pahat semasa, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat serta penyandang kerusi DUN berkenaan dalam satu saingan yang sengit.
Onn dijadual menunaikan meninjau proses pengundian di pusat mengundi berkenaan kira-kira 8.30 pagi ini.
Secara keseluruhan, PRN Johor kali ini menyaksikan 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan 2,727,926 pengundi berdaftar, termasuk hampir 1.3 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun atau kira-kira 47.6 peratus daripada keseluruhan daftar pemilih. – MalaysiaGazette
















