Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad bercakap pada sidang media bersama Pemimpin PH selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Pusat Informasi PH, Pulai, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 11 JULAI 2026.

PULAI – Keputusan atau corak pengundian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak boleh dijadikan kayu ukur bagi meramal keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) kerana kedua-duanya jauh berbeza.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, fokus pengundi dalam kedua-dua pilihan raya tersebut mempunyai perbezaan yang ketara, terutamanya dari segi faktor lokaliti dan hala tuju kepimpinan negara.

“Kita akur PRN Johor bahawa faktor populariti menteri besar sangat popular dengan masyarakat tempatan dan pengaruh dia dalam kalangan pengundi muda merupakan antara elemen penting yang perlu diambil kira di kawasan kubu kuat parti.

“Namun, situasi tersebut berubah apabila negara berhadapan dengan pilihan raya di peringkat nasional.

“Apabila kita berhadapan dengan pilihan raya umum, isu utamanya bukan lagi sekadar faktor tempatan, tetapi adalah tentang siapa yang bakal menerajui negara sebagai Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di Pusat Informasi PH di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai persediaan mendepani PRU, Khalid yakin dengan komponen gabungan blok berkenaan.

“Pakatan Harapan (PH) ketika ini berada di kedudukan terbaik untuk menawarkan kepimpinan negara yang stabil.

“Buat masa ini, kami amat yakin bahawa PH mempunyai calon perdana menteri yang terbaik untuk ditawarkan kepada rakyat,” ujarnya.

Khalid turut mengingatkan agar tidak membuat keputusan yang mudah dengan menyamakan apa yang berlaku di peringkat negeri sebagai gambaran mutlak bagi pilihan raya umum akan datang.

“Landskap politik PRN dan PRU adalah dua perkara yang sangat berbeza.

“Ia bakal ditentukan oleh faktor penentu yang berlainan apabila tiba masanya nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast