Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail beramah mesra bersama petugas SPR ketika hadir melawat ke pusat mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di SMK Taman Molek, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 11 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Polis menerima 90 laporan polis melibatkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bermula Sabtu lalu sehingga malam tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 25 kertas siasatan dibuka yang kebanyakannya adalah kesalahan kecil.

“Saya percaya ini tidak akan menimbulkan keresahan ataupun ketegangan di antara pengundi dan juga semua petugas-petugas dalam pilihan raya kali ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail hadir melawat ke pusat mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di SMK Taman Molek, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 11 JULAI 2026.

“Kebanyakan kes-kes ini yang kita siasat adalah lebih kepada kes khianat di mana ada beberapa individu tertentu yang sedang kita siasat telah mengambil tindakan untuk mencabut ataupun cuba merosakkan bendera dan juga beberapa benda perkara berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar semasa meninjau proses pengundian di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Molek di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail bercakap pada sidang media selepas hadir melawat ke pusat mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di SMK Taman Molek, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 11 JULAI 2026.

Katanya, kesalahan tersebut tidak melibatkan calon atau pemimpin politik serta pihaknya masih menyiasat pihak tidak bertanggungjawab yang terbabit.

Mohd Khalid memberitahu, seramai 5,600 anggota dan pegawai polis dari luar negeri datang membantu menjadikan semua yang bertugas keseluruhan berjumlah 14,000.

Jelasnya, anggota terbabit yang bertugas adalah bagi memastikan keamanan dan kelancaran di pusat mengundi lancar termasuk di semua aliran trafik terbabit.

“Pada masa ini saya melihat semuanya berjalan dengan baik dan lancar. Adalah menjadi tanggungjawab dan amanah untuk polis memastikan keselamatan, ketenteraman dan kawalan lalu lintas berada pada tahap yang sempurna,” katanya.

Seramai 2.7 juta rakyat Johor layak mengundi pada PRN Johor ke-16.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast