Datuk Seri Ronald Kiandee.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Bersatu yang digantung, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mempersoalkan keabsahan setiap keputusan yang dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu susulan perletakan jawatan beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT).

Beliau menggesa, Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) mengadakan mesyuarat segera bagi menilai kedudukan semasa Bersatu dalam gabungan tersebut.

Menurutnya, kenyataan Presiden Bersatu bahawa krisis dalaman parti akan diselesaikan secara dalaman tidak menjawab persoalan paling asas sama ada MPT masih boleh berfungsi dan bermesyuarat secara sah mengikut Fasal 13.12 Perlembagaan Bersatu yang mensyaratkan kehadiran korum melebihi separuh daripada jumlah ahli MPT.

“Kegagalan membuktikan syarat korum masih dipenuhi akan menimbulkan persoalan serius terhadap kesahihan setiap keputusan yang dibuat oleh MPT.

“Apabila korum tidak lagi mencukupi, Bersatu berdepan risiko berada dalam keadaan tergantung dari sudut pentadbiran, sekaligus tidak mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan yang sah menurut Perlembagaan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ronald turut menyifatkan, tindakan beberapa AMPT meletakkan jawatan sebagai manifestasi jelas bahawa Presiden Bersatu gagal menguruskan krisis dalaman sehingga hilang keyakinan sebahagian besar kepimpinan tertinggi parti.

Beliau berkata, kemelut yang berlarutan itu bukan sahaja memalukan Bersatu, malah berkemungkinan memerlukan campur tangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), sekaligus berpotensi menjejaskan kedudukan parti serta kelancaran perancangan strategik PN, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Majlis Tertinggi PN bermesyuarat dengan kadar segera bagi menilai kedudukan semasa Bersatu dalam gabungan berkenaan serta mempertimbangkan langkah-langkah yang perlu bagi memastikan kestabilan, kredibiliti dan kesiapsiagaan PN tidak terjejas akibat krisis dalaman parti komponen.

Katanya, kepentingan PN sebagai sebuah gabungan politik perlu mengatasi kepentingan mana-mana individu kerana krisis yang berlarutan tanpa penyelesaian hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kemampuan gabungan itu menawarkan kepimpinan yang stabil, berintegriti dan berwibawa. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast