Calon PH N.41 Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik hadir membuang undi pada Hari Pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 di SJKC Tuan Poon, Simpang Renggam. Foto FAREEZ FADZIL, 11 JULAI 2026.

SIMPANG RENGGAM – Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Maszlee Malik selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tuan Poon, Singgam Renggam.

Beliau yang juga merupakan calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa tiba di pusat mengundi pada jam 8.50 pagi dan selesai 10 minit kemudian.

Beliau kemudian meninggalkan pekarangan pusat undi pukul 9.05 pagi.

“Saya selamat mengundi di Dun Machap, tak sempat tukar alamat di Puteri Wangsa. Alhamdulillah semuanya lancar, sekejap sahaja sudah selesai,” katanya kepada media sebelum bergegas kembali ke Puteri Wangsa untuk meninjau keadaan di sana.

Calon PH N.41 Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik beramah mesra dengan pengundi warga emas, Jaini Salleh pada Hari Pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 di SJKC Tuan Poon, Simpang Renggam. Foto FAREEZ FADZIL, 11 JULAI 2026.

Bekas Menteri Pendidikan itu juga turut berharap agar lebih ramai keluar setiap mengundi.

“Saya harap pengundi keluar beramai-ramai terutamanya pengundi muda untuk menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, DUN Puteri Wangsa menyaksikan pertembungan lima penjuru. Dr Maszlee berdepan empat calon lain iaitu Rashifa Aljunied (MUDA), Teow Chia Ling (BN), Nicholas Paul Vincent dan Wang Wee Siong (Bebas).

Lebih 2.7 juta pemilih yang layak akan mengundi dalam PRN Johor bagi memilih wakil rakyat mereka.

Sebanyak 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,889 saluran dibuka serentak bagi membolehkan rakyat negeri ini menentukan mandat baharu di 56 kawasan DUN selepas berakhirnya tempoh berkempen 14 hari, tengah malam tadi.

Pusat-pusat mengundi berkenaan akan ditutup secara berperingkat bermula 11 pagi hingga 6 petang ini mengikut lokasi, sebelum proses pengiraan undi dimulakan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast