KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan melibatkan sebuah lagi kereta di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Shah Alam, Selangor malam semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Sarudin Samah berkata, dua lagi mangsa iaitu kakak ipar pemandu dan anak lelakinya berusia sembilan tahun mengalami luka di kepala serta muka.
Kedua-duanya telah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Menurut Sarudin, dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu kereta dipandu wanita berusia 20-an itu dipercayai dilanggar sebuah kereta jenis sedan yang hilang kawalan di Kilometer 30.7 lebuh raya tersebut.
Sehubungan itu, pihaknya sedang mengesan suspek dipercayai seorang lelaki warga tempatan berusia 50-an bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan keadaan kereta yang terbalik di Lebuh Raya KESAS dengan dakwaan mangsa kemalangan dilanggar pemandu di bawah pengaruh alkohol. -MalaysiaGazette















