JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor bangga dengan pengundi muda yang didakwa memlilih kestabilan dan kemajuan serta menolak politik kebencian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, mereka menjadi pengundi yang matang, berfikiran rasional dan tidak terpengaruh dengan dakyah dimainkan pihak luar semasa berkempen.
“Hakikatnya, anak-anak muda Johor tidak terpengaruh dengan semua itu. Mereka tidak goyah. Mereka tidak terperangkap dengan sentimen, politik kebencian, adu domba dan perpecahan.
“Sebaliknya, mereka dengan penuh keyakinan memilih kestabilan, kemajuan dan masa depan yang mereka percaya mampu membawa Johor terus maju.
“Sebab itu, saya secara peribadi ingin merakamkan rasa hormat dan penghargaan kepada anak-anak muda Johor. Tahniah kerana berani menghantar mesej yang begitu jelas melalui peti undi semalam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan, Johor bukan tempat untuk menyemai benih-benih kebencian selain menolak politik perpecahan dan adu domba.
“Di Johor, kita memilih untuk membina, bukan memecah-belahkan. Inilah cara Johor. Tahniah, anak-anak muda Johor
“Setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Johor yang menunaikan tanggungjawab demokrasi dengan keluar mengundi. Undian anda mencerminkan komitmen terhadap masa depan negeri yang kita cintai,” katanya.
Beliau juga merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh jentera, petugas, sukarelawan dan para penyokong yang telah bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen.
Menurutnya, sebelum bermulanya tempoh kempen lagi, Barisan Nasional (BN) sudah mengadakan pelbagai perjumpaan dan sesi interaksi bersama-sama anak-anak muda Johor.
“Setiap kali bertemu yang kami bawa hanyalah keyakinan tentang harapan dan masa depan yang lebih jelas buat mereka.
“Kami berbicara tentang peluang pekerjaan, pendidikan, impian memiliki rumah sendiri, gaji yang bermaruah, cabaran membesarkan anak-anak bagi ibu bapa muda, pembangunan negeri yang seimbang dan menyeluruh, sukan, peluang keusahawanan serta ruang untuk terus meningkatkan kemahiran.
“Termasuk juga masa depan mereka yang sedang dan bakal melanjutkan pengajian ke universiti serta institusi-institusi pendidikan yang lain,” katanya.
Tidak pernah sekali pun katanya, BN menggunakan kesempatan untuk mencaci, memaki, mencari salah sesiapa, apatah lagi menyemai kebencian.
Jelas beliau, segala-galanya adalah tentang harapan dan tentang masa depan.
“Sebab itu, apabila sepanjang tempoh kempen ada pihak di sebelah sana menggunakan pentas ceramah untuk mencaci, melemparkan tohmahan, menyemai kebencian dan memperkatakan perkara yang tidak sepatutnya tentang Johor kepada anak-anak muda Johor, kami benar-benar menjadi hairan,” katanya.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berakhir semalam, BN mendapat 48 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) lapan kerusi.- MalaysiaGazette
















