Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Seramai 12,974 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) Tahun 2026 yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula esok  hingga 16 Julai ini di 188 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, peperiksaan itu melibatkan tiga mata pelajaran iaitu bahasa Melayu, sejarah dan matematik.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, seramai 1,530 petugas peperiksaan dilantik bagi mengendalikan ujian bertulis dan ujian mendengar bahasa Melayu, manakala 1,366 lagi bertugas bagi ujian bertutur bahasa Melayu.

Semua calon diingatkan supaya menyemak jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat berkaitan tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun menerusi portal rasmi Lembaga Peperiksaan, manakala Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh diperoleh melalui Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian, tambahnya.

Selain itu, calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi semua prosedur operasi standard  dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan perjalanan peperiksaan berjalan lancar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast