Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 09 FEBRUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan negara kekal stabil dan mampan meskipun berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan global susulan konflik geopolitik serta peningkatan kos input pertanian.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah merangka pelbagai pelan kontingensi menerusi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 bagi memperkukuh daya tahan sistem agromakanan negara, jelas Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin.

Antara langkah utama yang sedang dilaksanakan termasuk menggubal Undang-Undang Jaminan Makanan Negara, memperkukuh sistem amaran awal berasaskan kecerdasan buatan (AI), mengoptimumkan kapasiti pengeluaran makanan tempatan serta meneruskan pelbagai bentuk insentif kepada pesawah dan nelayan.

“Pelaksanaan pelan kontingensi dan beberapa insentif yang komprehensif ini membolehkan kapasiti pengeluaran domestik diperkukuh, sekali gus meminimumkan impak gangguan rantaian bekalan demi menjamin keterjaminan makanan negara.

“Pemberian insentif ini secara langsung berjaya memastikan bekalan makanan negara sentiasa stabil dan mampan, sekali gus membuktikan tiada gangguan terhadap keterjaminan makanan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh pemantauan pasaran menerusi Portal Pengawasan serta Intervensi Bekalan dan Pemasaran Agromakanan (SISDA) yang menggunakan teknologi AI bagi membolehkan tindakan intervensi dilaksanakan dengan lebih pantas.

Dalam masa sama, Program Jualan Agro Madani terus diperluaskan dengan memberi manfaat kepada 13.61 juta isi rumah.

Sehingga kini, Foong Hin berkata sebanyak 1,833 program telah dilaksanakan dengan nilai jualan RM46.72 juta, manakala pengguna menikmati anggaran penjimatan sebanyak RM14.02 juta.

Menurut beliau, kerajaan juga mengoptimumkan penggunaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR) dan Zon Industri Akuakultur (ZIA), selain menaikkan Insentif Pembajakan Tanah kepada pesawah kepada RM300 sehektar serta mengekalkan subsidi diesel nelayan pada kadar RM1.65 seliter bagi mengurangkan beban kos operasi.

Beliau berkata, di bawah Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) 2026, sebanyak 20 projek berimpak tinggi bernilai RM17.38 juta telah diluluskan di Terengganu setakat 3 Jun lalu, meliputi subsektor tanaman, ternakan dan perikanan.

Mengulas keberkesanan insentif kerajaan, Foong Hin turut berkata, data awal menunjukkan kadar sara diri (SSR) daging lembu dan kerbau meningkat kepada 18.4 peratus pada 2025 berbanding 16.8 peratus pada 2024 dan 15.7 peratus pada 2023.

Selain itu, pengeluaran susu segar tempatan meningkat kepada 66 juta liter pada 2025, sekali gus melonjakkan SSR tenusu daripada 66.7 peratus pada 2024 kepada 81.8 peratus tahun lalu hasil pelaksanaan Program Pengukuhan Pengeluaran Tenusu Negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast