KUALA LUMPUR – Malaysia Airports akan mengadakan Latihan Penuh Skala Kemalangan Udara dikenali sebagai Latih Amal Ex Urban Falcon 2026 di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Denai Alam, Lebuhraya Damansara – Shah Alam (DASH) pada Khamis ini, 16 Julai 2026.
Latihan itu akan diadakan dari jam 8 pagi hingga 2 petang bersama Prolintas dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPEN)
MAHB dalam kenyataan hari ini berkata, latih amal ini merupakan sebahagian daripada Program Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026 anjurannya dengan kolaborasi bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Prolintas-Dash.
“Pelaksanaan latih amal bencana udara ini mempunyai objektif utama untuk menilai dan menguji tahap kesiapsiagaan, koordinasi, serta tindak balas dalam mendepani sebarang situasi kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, tambahnya, program ini juga berfungsi untuk menguji respons daripada pelbagai agensi keselamatan dan kecemasan yang berkaitan.
Oleh itu, sepanjang tempoh latihan dijalankan, pengguna Lebuhraya DASH dan orang awam dinasihatkan agar memberi kerjasama sekiranya melihat kehadiran kenderaan kecemasan, asap, replika pesawat, bunyi siren atau aktiviti simulasi di sekitar kawasan R&R Denai Alam kerana ia merupakan sebahagian daripada latihan ini.
Sehubungan itu, orang ramai juga diminta mematuhi arahan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan latihan.
“Malaysia Airports, Prolintas dan JaPEN menghargai kerjasama orang ramai bagi memastikan latihan ini dapat dilaksanakan dengan selamat dan lancer,” ujarnya. – MalaysiaGazette















