JOHOR BAHRU – Dr Maszlee Malik kini sudah boleh berdebat dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas menang di kerusi DUN Puteri Wangsa.
Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Ali Hanafiah berkata, pelawaan Maszlee terhadap Onn Hafiz sebelum ini kini boleh menjadi realiti.
“PPJ berharap beliau menggunakan ruang sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri untuk berdebat dan berdialog.
“Tidak perlulah dialog dan debat di tempat awam yang menyusahkan rakyat. Beliau boleh memberikan idea untuk membantu bangsa Johor dan kemajuan negeri Johor,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bagi memastikan perdebatan secara setara dengan Onn Hafiz, Maszlee sewajarnya dilantik sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor.
“Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan bahasa, PPJ berharap Maszlee sebagai bekas Menteri Pendidikan turut memasukkan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai bahan debat.
“PPJ menolak UEC diiktiraf yang bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan,” katanya.
Pada 23 Jun lalu, Maszlee menerima cabaran untuk berdebat dengan Onn Hafiz menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Maszlee, cadangan mengadakan debat politik sempena PRN Johor bukan datang daripadanya.
Katanya, debat politik merupakan permintaan generasi muda dan rakyat yang mahu mendengar sendiri tawaran daripada parti yang bertanding.
Bagaimanapun, Onn Hafiz menolak pelawaan debat itu dengan menyatakan debat bukan budaya orang Johor. – MalaysiaGazette
















