KUALA LUMPUR – Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) berharap Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.
Ketua Belia PPP Malaysia, Sathiah Sudakaran berkata, pemintaan itu sebagai pengiktirafan terhadap kesetiaan, komitmen dan sumbangan PPP kepada parti komponen itu dalam setiap pilihan raya.
Menurutnya, PPP bukan sekadar parti komponen atas nama, malah kekal bersama BN sejak penubuhannya dan terus mempertahankan semangat perjuangan gabungan walaupun berdepan pelbagai cabaran politik.
“PPP sentiasa menunjukkan kesetiaan kepada BN dan ahli serta pemimpinnya terus bekerja bagi memastikan kemenangan gabungan tanpa mengira keadaan.
“Kesetiaan dan pengorbanan parti-parti komponen tidak seharusnya hanya dihargai ketika musim pilihan raya, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui peluang yang adil untuk mewakili BN sebagai calon,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sathiah berkata, komitmen PPP dapat dilihat dengan jelas pada PRN Johor baru-baru ini apabila jentera parti dari seluruh negara digerakkan bagi membantu kempen calon-calon BN.
Katanya, ahli PPP turun padang mengendalikan bilik gerakan, melaksanakan kempen dari rumah ke rumah, membantu mobilisasi pengundi serta pelbagai aktiviti pilihan raya tanpa meletakkan sebarang syarat.
“Keutamaan kami ketika itu ialah memastikan kemenangan BN dan gerak kerja tersebut dilaksanakan sepenuhnya demi kepentingan gabungan,” katanya.
Jelas beliau, pemberian sekurang-kurangnya dua kerusi DUN kepada PPP di Negeri Sembilan bukanlah satu tuntutan yang berlebihan, sebaliknya pengiktirafan yang sewajarnya terhadap jasa dan sumbangan parti itu.
Menurutnya, langkah berkenaan juga akan membuktikan bahawa BN menghargai setiap parti komponennya berdasarkan kesetiaan, kemampuan serta rekod perkhidmatan kepada rakyat.
Sathiah berkata, PPP mempunyai barisan pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan disokong jentera akar umbi yang komited untuk membawa kemenangan kepada BN sekiranya diberi peluang bertanding.
“Jika diberikan kepercayaan, kami akan memikul amanah itu dengan penuh tanggungjawab serta bekerja keras demi kepentingan rakyat dan kejayaan BN.
“Saya percaya kekuatan sebenar BN terletak pada perpaduan serta saling menghormati antara semua parti komponennya.
“Memberikan peluang kepada PPP bertanding di Negeri Sembilan bukan sahaja memperkukuhkan gabungan, malah membuktikan setiap parti yang setia dan bekerja keras akan diberikan pengiktirafan yang sewajarnya,” katanya lagi.
Beliau berkata, PPP telah membuktikan kesetiaan melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata, dan kini sudah tiba masanya kesetiaan itu diterjemahkan kepada peluang untuk terus berkhidmat kepada rakyat sebagai calon BN pada PRN Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette
















