Nor Azimah Abdul Aziz menyerahkan sumbangan zakat korporat SSM kepada Amer Shakir Zainol (dua dari kiri).

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyalurkan sumbangan Wakalah Zakat Korporat berjumlah RM220,000 kepada pelajar-pelajar asnaf Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sempena Program Dermasiswa SSM, baru-baru ini.

Sumbangan kepada 200 pelajar asnaf fakir dan miskin ini bertujuan membantu melunaskan yuran pengajian tertunggak serta meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh para pelajar.

Inisiatif ini merupakan usaha SSM untuk menyokong kelangsungan pendidikan pelajar asnaf agar dapat menamatkan pengajian, memperoleh sijil kelayakan dan seterusnya meningkatkan peluang membina kerjaya serta kehidupan yang lebih baik.

Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM kepada Profesor Dr. Amer Shakir Zainol, Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) UiTM.

Dalam ucapannya, Nor Azimah berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen SSM untuk terus berusaha memperbaiki kehidupan masyarakat yang memerlukan, selari dengan aspirasi Malaysia Madani.

Setakat 1 Januari hingga 30 Jun 2026, SSM telah mengagihkan lebih RM4.6 juta Wakalah Zakat Korporat SSM kepada 6,096 penerima asnaf di seluruh negara.

Dalam tempoh yang sama, SSM juga telah mengagihkan lebih RM430,000 melalui program CSR kepada 907 penerima yang memerlukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast