PUTRAJAYA – Dengan mengenakan kot hitam dan wajah yang tenang, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke Mahkamah Persekutuan pagi ini bagi menghadapi detik penentuan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasannya dalam kes membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Beliau diiringi tunangnya, Bella Astillah serta ahli keluarga yang setia memberikan sokongan moral.
Syed Saddiq yang tiba sekitar jam 8.40 pagi sempat melemparkan senyuman dan melambai ke arah petugas media sebelum memasuki bilik prosiding untuk mengikuti keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan.
Sejak jam 7 pagi lagi, puluhan pengamal media mula memenuhi pekarangan dan lobi Istana Kehakiman bagi membuat liputan prosiding berprofil tinggi itu.
Dalam suasana yang cukup mesra, ahli keluarga Syed Saddiq turut mengedarkan puluhan lempeng gulung buatan sendiri kepada pengamal media yang berkampung di mahkamah sejak awal pagi.
Bella yang tiba sekitar jam 7.30 pagi, mengenakan jubah bercorak bunga rona putih dan biru dengan nada emosi berkata, dia sentiasa mendoakan yang terbaik buat tunangnya.
“Insya-Allah saya sentiasa mendoakan yang terbaik,” katanya ringkas.
Beberapa minit kemudian, ibu Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, tiba di mahkamah dan kelihatan tenang ketika didekati petugas media.
Beliau turut menaruh harapan agar keputusan yang bakal diputuskan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan akan berpihak kepada anaknya.
“Mudah-mudahan Allah SWT membantu dia (Syed Saddiq) dengan memberi kemenangan pada hari ini,” katanya.
Kira-kira jam 9.30 pagi ini, Mahkamah Persekutuan sekita dijadual menyampaikan keputusan akhir rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Armada.
Keputusan itu sepatutnya diumumkan pada 30 Jun lalu, namun ditangguhkan ke hari ini kerana salah seorang daripada panel tiga hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali tidak sihat pada hari tersebut dan diberikan sijil cuti sakit selama dua hari.
Prosiding hari ini akan menentukan sama ada Syed Saddiq kekal dibebaskan atau berdepan sabitan semula.
Jika rayuan pendakwaan dibenarkan, beliau boleh dikenakan hukuman mengikut pertuduhan yang dihadapinya, termasuk hukuman penjara, sebatan dan denda.
Sepanjang prosiding rayuan bermula pada 11 dan 12 Disember tahun lalu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan.
Sementara Syed Saddiq diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan. – MalaysiaGazette
















