Kepulan asap kelihatan menjulang di ruang udara Doha pada 5 Mac 2026. Ia berlaku selepas beberapa siri letupan bergema di Doha, beberapa jam selepas pihak berkuasa memaklumkan pemindahan penduduk yang tinggal berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS). Negara-negara Teluk menjadi sasaran beberapa gelombang serangan dron dan peluru berpandu Iran sebagai tindak balas terhadap kempen serangan udara besar-besaran Amerika Syarikat dan Israel. Foto AFP.

SEJARAH Islam memperlihatkan kebijaksanaan strategi sering menjadi faktor penentu kemenangan dalam peperangan. Antara peristiwa paling penting yang menunjukkan kehebatan strategi ini ialah Perang Khandaq berlaku pada tahun 627 Masihi (5 Hijrah) atau dikenali sebagai Battle of the Trench/Battle of the Confederates. Sejarah Islam juga mengenali Perang Khadaq sebagai Ghazwat al-Ahzab (Perang Pakatan).

Dalam peperangan tersebut, idea kreatif seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang berasal dari Parsi, iaitu Salman al-Farisi, telah mengubah landskap strategi perang di Semenanjung Arab. Perang Khandaq sebenarnya merupakan pengepungan yang berlangsung sekitar tiga hingga empat minggu sebelum tentera pakatan berundur.

Cadangan beliau untuk menggali parit besar di bahagian utara Madinah yang terbuka bagi menahan serangan tentera berkuda musuh yang jauh lebih ramai telah menjadi strategi pertahanan yang sangat efektif. Ketika itu, tentera Muslim hanya berjumlah sekitar 3,000 orang berbanding tentera pakatan Quraisy yang mencecah kira-kira 10,000 orang. Namun, dengan penggunaan strategi parit tersebut, tentera berkuda musuh tidak dapat menyerang secara langsung dan akhirnya gagal menembusi pertahanan Madinah.

Strategi tersebut bukan sahaja mencerminkan kebijaksanaan Salman al-Farisi, tetapi menunjukkan bagaimana bangsa Parsi sejak dahulu terkenal dengan pendekatan peperangan yang kreatif, fleksibel dan berasaskan inovasi. Taktik parit
bukanlah strategi yang lazim digunakan dalam peperangan Arab ketika itu, tetapi lebih dikenali dalam tradisi peperangan Empayar Parsi dan Byzantine. Dengan menerima idea daripada budaya luar, Rasulullah SAW menunjukkan bahawa strategi terbaik boleh datang daripada mana-mana sumber selagi ia membawa kebaikan kepada umat.

Peristiwa ini memberi pengajaran penting bahawa kreativiti dalam strategi sering menjadi kunci kemenangan. Ia juga menunjukkan bahawa teknologi atau taktik perang bukanlah sesuatu yang statik, sebaliknya berkembang mengikut zaman dan keperluan.

Dari strategi parit kepada teknologi peperangan moden
Jika dilihat dalam konteks geopolitik hari ini, pendekatan kreatif dan inovatif dalam peperangan masih menjadi faktor penting dalam menentukan keseimbangan kuasa dunia. Konflik yang berlaku antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat pada masa kini memperlihatkan bagaimana teknologi peperangan moden memainkan peranan yang hampir sama dengan strategi parit pada zaman Khandaq iaitu mencipta kelebihan strategik terhadap musuh.

Dalam konflik terkini di Timur Tengah, penggunaan teknologi seperti peluru berpandu balistik, sistem pertahanan udara, serangan siber dan dron menjadi komponen utama strategi peperangan. Laporan terkini menunjukkan konflik antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat melibatkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron yang disasarkan kepada infrastruktur strategik di rantau Teluk dan Israel.

Iran misalnya memanfaatkan teknologi dron dan peluru berpandu untuk melaksanakan serangan jarak jauh serta mengancam laluan strategik seperti Teluk Parsi. Malah laporan terkini menunjukkan Iran memiliki simpanan dron laut atau lebih tepat dikenali sebagai unmanned surface vessel (USV) tanpa pemandu serta peluru berpandu dalam kemudahan bawah tanah yang digelar sebagai missile city.

Dalam masa yang sama, Israel dan Amerika Syarikat pula menggunakan sistem pertahanan udara canggih seperti sistem pemintas peluru berpandu yang mampu menangkis sebahagian besar serangan tersebut. Sistem pertahanan udara moden
seperti Iron Dome, Arrow dan Patriot ini dilaporkan mampu memintas sebahagian besar peluru berpandu dan dron yang dilancarkan dalam konflik terkini.

Jika dianalisis secara strategik, teknologi ini sebenarnya berfungsi seperti parit pada zaman Khandaq iaitu sebagai penghalang atau “barrier defence” yang melindungi kawasan daripada serangan musuh.

Persamaan strategi lama dan teknologi moden
Walaupun dipisahkan oleh lebih 1,400 tahun sejarah, terdapat beberapa persamaan menarik antara strategi peperangan zaman Khandaq dengan teknologi perang moden.

Pertama ialah konsep pertahanan strategik. Dalam Perang Khandaq, parit digali bagi menghalang kemaraan tentera berkuda musuh. Dalam peperangan moden pula, sistem pertahanan udara seperti radar, peluru berpandu pemintas dan sistem anti-
dron berfungsi sebagai “parit teknologi” yang menghalang serangan dari udara.

Kedua ialah elemen inovasi. Strategi parit merupakan idea luar biasa dalam konteks peperangan Arab ketika itu. Begitu juga dalam peperangan moden, inovasi seperti dron autonomi, peperangan siber dan sistem navigasi satelit menjadi faktor yang menentukan kelebihan strategik sesebuah negara.

Ketiga ialah fleksibiliti strategi. Dalam Perang Khandaq, umat Islam tidak memilih untuk menyerang secara terbuka kerana bilangan mereka jauh lebih kecil. Sebaliknya mereka menggunakan strategi defensif yang lebih sesuai dengan keadaan. Dalam konflik moden pula, negara-negara yang terlibat menggunakan pendekatan berbeza seperti serangan jarak jauh, peperangan proksi dan teknologi tanpa pemandu bagi mengurangkan risiko kepada tentera mereka.

Pengajaran strategik daripada sejarah
Perang Khandaq memberi satu pengajaran besar kepada dunia Islam bahawa kemenangan tidak semestinya bergantung kepada kekuatan fizikal semata-mata. Sebaliknya, strategi, kreativiti dan kebijaksanaan memainkan peranan yang sangat
penting.

Idea parit yang dicadangkan oleh Salman al-Farisi menunjukkan pemikiran strategik mampu mengubah keseimbangan kuasa dalam peperangan. Ia juga membuktikan bahawa Islam menggalakkan keterbukaan terhadap ilmu dan teknologi
daripada pelbagai tamadun.

Dalam dunia moden, negara-negara seperti Iran, Israel dan Amerika Syarikat terus berlumba-lumba membangunkan teknologi peperangan baharu bagi memastikan keselamatan dan kepentingan strategik masing-masing. Namun, sejarah
mengingatkan kita bahawa teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa kebijaksanaan dalam menggunakannya.

Ke arah keamanan dan kestabilan
Walaupun strategi peperangan sentiasa berkembang, matlamat utama umat manusia seharusnya adalah keamanan dan kestabilan dunia. Sejarah Perang Khandaq sendiri menunjukkan bahawa strategi pertahanan tersebut akhirnya membawa kepada pengiktirafan kekuatan komuniti Islam di Madinah dan membuka jalan kepada perjanjian damai pada masa berikutnya.

Dalam konteks konflik moden di Timur Tengah, masyarakat antarabangsa berharap agar inovasi teknologi yang dimiliki oleh negara-negara besar tidak hanya digunakan untuk peperangan, tetapi juga untuk membina keamanan, keselamatan dan
kestabilan global.

Sejarah mengajar kita bahawa strategi yang bijaksana bukan sekadar tentang bagaimana memenangi peperangan, tetapi juga  bagaimana mengelakkan peperangan yang lebih besar.

Daripada parit Khandaq yang digali secara manual lebih seribu tahun lalu, hinggalah kepada sistem dron dan peluru berpandu yang dikawal satelit pada hari ini, satu perkara tetap sama iaitu kemenangan sering berpihak kepada mereka yang mampu berfikir secara kreatif, fleksibel dan strategik.

Itulah warisan pemikiran strategik bangsa Parsi yang pernah mencetuskan idea parit di Madinah, satu inspirasi bahawa inovasi boleh mengubah sejarah.

 

Oleh: Dr. Anim Zalina Azizan
Penyelidik Kumpulan Fokus Technology
and Innovation Management,
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, UTHM.

 

 

Mejar Mohamad Zahid Mansor
Pegawai Staf 2 Tadbir dan Logistik
Pusat Latihan Tempur Tentera Darat
(PULADA)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast