KUALA LUMPUR – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, sebahagian daripada RM13.7 juta wang syarikat milik abangnya telah disumbangkan kepada parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Shahrin Shamsuddin, 41, berkata, pada asalnya, wang RM13.7 juta itu dipindahkan daripada syarikat miliknya, Sutracom Sdn. Bhd. ke akaun bank Mamfor Sdn. Bhd., kepunyaaan abangnya.
Mamfor merupakan syarikat yang dikaitkan dalam pertuduhan kes Janawibawa melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau yang juga Pengarah Sutracom, pindahan wang secara atas talian itu dilakukan menerusi sembilan transaksi di antara 13 September 2021 dan 14 November 2022.
Sakai pendakwaan ke-15 (SP15) berkata, wang RM13.7 juta itu dipindahkan kepada Mamfor bagi membayar perbelanjaan operasi serta hutang-hutang lapuk syarikat-syarikat milik keluarga termasuk Sutracom.
“Saya hanya tahu bahawa sebahagian wang yang dipindahkan kepada Mamfor telah disumbangkan kepada Bersatu oleh abang saya, Shahradzi.
“Ia ekoran perbincangan keluarga menerusi mesyuarat dalam talian berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Sutracom.
“Namun saya tidak tahu jumlah keseluruhan itu (yang disumbangkan kepada Bersatu), mahupun berapa pecahan wang yang Shahradzi guna untuk membayar hutang lapuk syarikat keluarga serta perbelanjaan operasi.
“Saya telah memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menguruskannya,” ujar Shahrin ketika membacakan pernyataan saksinya hari ini.
Beliau memberi keterangan pada perbicaraan kes Muhyiddin yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan Janawibawa.
Shahrin selanjutnya berkata, dalam satu perbincangan keluarga, bapanya menyarankan mereka menghantar surat minat ataupun surat pemohonan pertimbangan kepada Pejabat Perdana Menteri dan kementerian berkaitan untuk melibatkan diri dalam projek Pulau Indah Fasa 3, Klang.
Menurut beliau, amalan penghantaran surat-surat tersebut adalah satu kebiasaan dalam industri pembinaan khususnya apabila kerajaan mengumumkan projek-projek baharu.
Menurut beliau, Sutracom kemudian menghantar surat permohonan bertarikh 5 Mac 2021 kepada Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri untuk kelulusan menyertai tender pra kelayakan bagi membina dan menaik taraf Lingkaran Pulau Indah, Fasa 3.
Kata Shahrin, surat itu disediakan dan ditandatangani oleh abangnya, Shahradzi.
Selain itu, satu lagi syarikat milik keluarga, Majulia Sdn. Bhd. turut mengemukakan permohonan kepada Muhyiddin untuk mendapat kelulusan menyertai projek yang sama.
Ujarnya, pihak Sutracom juga maklum projek tersebut telah disenarai dan diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri dan ia dilaksanakan pada 2021 di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan dikawal selia oleh Kemeterian Kerja Raya (KKR).
Menurut saksi, pada 26 Mac 2021, Sutracom menerima e mel daripada Bahagian Perolehan Kerajaan (BPK) Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan syarikat itu disenaraikan untuk Penilaian Pra Kelayakan syarikat bagi pelaksanaan projek kerajaan.
“Saya sahkan pada 26 November 2021, Sutracom menerima satu surat pelawaan tender bagi projek Membina dan Menaiktaraf Lingkaran Pulau Indah Fasa 3 akan dilaksanakan secara reka dan bina.
“Saya sahkan pada 8 Oktober 2022, Sutracom SSB telah menerima surat setuju terima (SST) daripada JKR untuk melaksanakan projek tersebut yang berjumlah RM605.2 juta dan pemilikan tapak ditetapkan pada 28 Oktober 2022,” ujarnya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung esok.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette
















