Onn Hafiz Ghazi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Johor mengambil serius kebimbangan rakyat berhubung operasi Network School di Forest City, termasuk dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa masuk ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Dalam Negeri,  Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi keselamatan berkaitan menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh terhadap perkara tersebut.

Antara aspek yang perlu disiasat termasuk identiti dan kewarganegaraan individu terlibat, dokumen perjalanan serta penggunaan pasport kedua, jenis pas dan tujuan kemasukan ke Malaysia, selain keselarasan antara tujuan kemasukan dengan aktiviti sebenar yang dijalankan.

Menurut Onn Hafiz, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital serta agensi kawal selia berkaitan turut diminta menentukan status sebenar operasi Network School, termasuk sama ada program tersebut memerlukan pendaftaran atau kelulusan mengikut undang-undang negara.

“Di peringkat negeri, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Pejabat Tanah dan Galian Johor serta agensi berkaitan akan menyemak semua aspek pematuhan di bawah bidang kuasa masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semakan itu meliputi pematuhan syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta keperluan perundangan lain yang berkuat kuasa.

Tambahnya, sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau tanah, atau wujud unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri serta keselamatan negara, tindakan tegas perlu diambil tanpa kompromi.

“Kerajaan Negeri akan terus bertindak secara bertanggungjawab dan berlandaskan undang-undang demi melindungi kepentingan negeri serta mempertahankan kedaulatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast