KUALA LUMPUR – Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd Nor menegur sindiran Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (PN-Maran) terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, sambil mengingatkan semua ahli Parlimen supaya menjaga batas ketika berbahas.
Teguran itu dibuat selepas Ismail memulakan soalan tambahan berkaitan isu perumahan dengan pantun berbaur sindiran terhadap Kor Ming yang tidak meletakan jawatan sebagaimana yang dinyatakan beliau sebelum ini.
“Datuk Speaker, saya nak pantun sikit.
“Buka peti dipenuhi wap, pengat dimakan bersama santan. Kenapa Menteri tidak menjawab? Saya ingat dia letak jawatan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagaimanapun, Ramli menegaskan gurauan atau sindiran tersebut oleh wakil rakyat perlu dilakukan secara terkawal kerana ahli Parlimen di kedua-dua pihak tetap manusia yang mempunyai perasaan.
“Saya faham apa Yang Berhormat nyatakan itu. Tapi kalau saya di sebelah sini sebagai menteri perumahan pun, saya akan terasa.
“Kita manusia. Sebelah sini pun manusia, sebelah sini pun manusia. Kita boleh bergurau sikit-sikit,” tegas Ramli.
Beliau berkata demikian selepas Ismail memohon maaf susulan teguran tersebut, sambil menegaskan hubungan baik antara wakil rakyat perlu terus dipelihara walaupun berbeza pandangan politik.
“Kalau Yang Berhormat dah minta maaf itu, saya sejuk sikitlah. Jadi persaudaraan itu ada,” katanya.
Menurut Ramli lagi, sindiran dalam perbahasan bukan sesuatu yang dilarang, namun perlu mengambil kira kesesuaian dan keadaan.
“Yang Berhormat yang lain itu, sindir menyindir itu bukan satu benda yang tak sesuai. Ini pandangan saya. Kita wakil rakyat, mereka yang di atas (pelawat) itu yang melihat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu yang menjawab soalan lisan hari ini menjelaskan bahawa Kor Ming ketika ini sedang menjalankan tugas rasmi.
“Yang Berhormat Menteri saya sedang menjalankan tugas rasmi sebagai seorang Menteri. Saya juga sedang menjalankan tugas rasmi sebagai timbalan menteri membantu beliau.
“Itu saja. Tak perlulah kita ada rasa prasangka,” katanya.
Beliau kemudiannya meneruskan jawapan berhubung soalan tambahan Ismail berkaitan tawaran diskaun dalam sektor hartanah serta usaha kerajaan membantu golongan belia memiliki rumah pertama.
Sebelum ini, Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP dilaporkan berkata, beliau akan menjadi menteri pertama meletak jawatan sekiranya UMNO mencatat kemenangan besar pada PRN Johor dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.
Kor Ming turut menjelaskan kesediaannya untuk meletakkan jawatan tidak mempunyai kaitan dengan kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. – MalaysiaGazette
















