KUALA LUMPUR – Pembangkang akan mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat hari ini bagi mendapatkan penjelasan kerajaan berhubung operasi Network School di Forest City, Johor yang mencetuskan kebimbangan berkaitan aspek keselamatan dan kedaulatan negara.
Ahli Parlimen Pas, Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, usul berkenaan akan dibawa mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi mendesak kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan dengan menggunakan pasport negara kedua.
Menurut beliau, isu itu perlu diberi perhatian serius kerana membabitkan dakwaan penyalahgunaan saluran ekonomi, pelaburan dan pendidikan untuk memasuki negara.
“Dalam isu ini, antara perkara yang dibangkitkan ialah dakwaan terdapat warga Israel yang menggunakan platform ekonomi, pelaburan dan pendidikan untuk menembusi negara termasuk didakwa memasuki Malaysia secara tidak sah menggunakan pasport negara kedua.
“Justeru, terdapat dua isu yang perlu diselesaikan serentak oleh kerajaan iaitu isu pembangunan Forest City yang berada di bawah tanggungjawab Menteri Ekonomi atau Menteri Kewangan serta isu keselamatan dan kedaulatan negara yang berada di bawah tanggungjawab Menteri Dalam Negeri,” katanya hari ini.
Mumtaz berkata demikian pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini yang turut dihadiri Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik).
Awal hari ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negeri itu sebagai tapak untuk membawa masuk ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.
Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi keselamatan berkaitan menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh terhadap perkara tersebut.
Dalam pada itu, Mumtaz berkata, isu Forest City bukan perkara baharu kerana kawasan pembangunan itu sebelum ini sering dibangkitkan di Parlimen berikutan kadar penghunian yang rendah dan kegagalan mencapai sasaran pembangunan asal.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi menarik pelaburan dan penempatan baharu ke kawasan berkenaan.

Dalam sidang media sama, Ahmad Tarmizi berkata, kerajaan Persekutuan perlu tampil memberikan pendirian rasmi memandangkan isu tersebut melibatkan kepentingan strategik negara dan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri.
“Ketika ini pelbagai maklumat sedang beredar di ruang awam. kerajaan bertanggungjawab memberikan penjelasan yang menyeluruh, telus dan berasaskan fakta supaya sebarang kekeliruan dapat diperbetulkan serta keyakinan rakyat terhadap dasar keselamatan negara dapat dipelihara.
“Kami mengambil maklum kenyataan Menteri Besar Johor bahawa kerajaan negeri akan meneliti perkara ini. Namun memandangkan isu ini membabitkan aspek keselamatan negara, teknologi digital, aliran data rentas sempadan serta kepentingan strategik negara, penjelasan tidak boleh terhad kepada kerajaan negeri semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, persoalan utama yang perlu dijawab kerajaan bukan sekadar manfaat ekonomi yang dibawa projek berkenaan sebaliknya sama ada semua proses tapisan keselamatan telah dilaksanakan secara menyeluruh oleh agensi berkaitan.
Kontroversi itu tercetus selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan kehadiran Network School di Forest City dengan ada hantaran mendakwa projek berkenaan menarik penyertaan usahawan asing termasuk warga Israel yang memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua. – MalaysiaGazette
















