Datuk Seri Aminuddin Harun

KUALA PILAH – Pakatan Harapan (PH) memerlukan mandat penuh selama lima tahun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi memastikan agenda pembangunan serta pelaburan yang dirancang dapat diteruskan tanpa gangguan, kata Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, penggal pentadbiran kerajaan negeri kali ini tidak dapat disempurnakan sepenuhnya apabila pilihan raya terpaksa diadakan lebih awal susulan perkembangan politik yang berlaku.

“Kita sepatutnya mentadbir selama lima tahun tetapi keadaan politik menyebabkan kita kembali mendapatkan mandat rakyat lebih awal.

“Berikan kami peluang lima tahun untuk meneruskan agenda membangunkan Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Negeri Sembilan di Dataran Melang di sini malam ini.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan itu, kestabilan politik merupakan faktor utama yang memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus melabur di negeri berkenaan sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Katanya, hasil kestabilan pentadbiran sejak 2018, Negeri Sembilan berjaya merekodkan pelaburan berjumlah RM19.1 bilion tahun lalu, iaitu yang tertinggi pernah dicapai negeri itu.

Beliau berkata, kedudukan kewangan negeri juga terus kukuh apabila simpanan kerajaan negeri meningkat daripada RM1.1 bilion kepada RM1.3 bilion ketika ini, manakala syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri turut mencatat prestasi yang memberangsangkan.

“Semua ini bukan berlaku secara kebetulan tetapi hasil daripada pentadbiran yang stabil, dasar yang jelas serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sehubungan itu, Aminuddin menggesa pengundi memberikan mandat baharu kepada PH bagi membolehkan segala perancangan pembangunan diteruskan demi manfaat rakyat dan masa depan Negeri Sembilan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast