KUALA LUMPUR – Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dashcam serta memanggil saksi bagi membantu mengesan dua lelaki yang dipercayai menyerang pengkritik bola sepak tempatan, Joe Zakaria di Bandar Sri Damansara pada Sabtu lalu dengan motif kejadian masih dalam siasatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, siasatan dijalankan secara menyeluruh termasuk menganalisis rakaman CCTV di sekitar lokasi kejadian serta rakaman dashcam daripada kenderaan awam yang berada berhampiran ketika insiden berlaku.
Menurut beliau, polis juga akan merakam percakapan saksi yang boleh membantu siasatan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat.
“Polis akan menyiasat dari semua sudut termasuk meneliti rakaman CCTV dan dashcam serta merakam percakapan saksi-saksi yang boleh membantu siasatan. Motif kejadian juga masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, punca sebenar serangan terhadap Joe Zakaria atau nama sebenarnya Azizurrahman Zakaria masih belum dapat dipastikan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan kelancaran siasatan polis.
Terdahulu, rakaman video kejadian yang tular di media sosial memaparkan Joe Zakaria ditumbuk dan diterajang beberapa kali oleh dua individu sehingga terduduk di tepi jalan sebelum beberapa orang awam bertindak meleraikan pergaduhan.
Mangsa turut dilihat cuba mendapatkan bantuan, manakala kedua-dua penyerang memakai topi keledar dan pelitup muka, sekali gus menyukarkan usaha pengecaman identiti mereka.
Siasatan awal mendapati, mangsa sedang mengisi angin tayar sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal Yamaha LC.
Kedua-dua suspek kemudian bertindak memukul mangsa berulang kali, malah kejadian itu turut dirakam.
Akibat serangan berkenaan, mangsa dilaporkan mengalami patah tulang pada bahagian mata serta beberapa kecederaan lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. – MalaysiaGazette
















