KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman fitnah terhadap pelawak, Harith Iskander Musa selepas mendakwa beliau menjadi mangsa penghinaan fizikal dalam satu persembahan komedi berdiri, Januari lalu.
Rosmah, 65, selaku plaintif memfailkan writ saman di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi pada 9 Jun lalu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dengan menamakan Harith sebagai defendan.
Berdasarkan penyataan tuntutan, isteri bekas perdana menteri mendakwa Harith memfitnahnya ketika persembahan komedi berdiri bertajuk ‘Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour’ di Swiss-Garden Hotel, Melaka pada 17 Januari lalu.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Rosmah selaku plaintif mendakwa ketika persembahan itu, defendan memaparkan imej makhluk mitologi seram seperti toyol, pontianak dan pocong sebelum memaparkan gambarnya (Rosmah) sebagai sebahagian daripada naratif jenaka yang disampaikan.
Rosmah turut mendakwa, Harith mengeluarkan kenyataan yang membawa maksud seseorang yang melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan gelap akan melihat sesuatu yang menakutkan, sebelum gambarnya dipaparkan kepada penonton.
Plaintif mendakwa tindakan itu memberi gambaran beliau mempunyai rupa paras yang dikaitkan dengan makhluk seram, selain menjadikannya bahan ejekan dan penghinaan di hadapan khalayak ramai.
Menurut Rosmah, kenyataan itu dibuat secara terbuka dengan niat jahat untuk merendahkan maruah, nama baik dan reputasinya melalui unsur kecaman terhadap fizikal.
Beliau turut mendakwa, rakaman persembahan berkenaan kemudiannya dimuat naik ke media sosial termasuk aplikasi TikTok, sekali gus menyebabkan kandungan itu ditonton ratusan ribu pengguna serta terus tersebar secara meluas.
Akibat penerbitan semula itu, Rosmah mendakwa beliau menerima kecaman, sindiran dan penghinaan, selain mengalami tekanan emosi, rasa malu serta kerosakan serius terhadap reputasi dan kedudukan sosialnya.
Sehubungan itu, Rosmah menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Selain pampasan, beliau turut memohon mahkamah mengarahkan pelawak itu menghentikan sebarang kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dan memadam semua kandungan berkaitan daripada platform media sosial.
Ia termasuk mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat serta menyiarkan penarikan balik kenyataan itu dalam sekurang-kurangnya dua akhbar arus perdana dan akaun media sosial yang dipersetujui.
Sementara itu, Harith selaku defendan dalam pernyataan pembelaannya menafikan kenyataan atau paparan visual dalam persembahan itu, bersifat fitnah atau berniat jahat.
Beliau menafikan paparan itu menggambarkan atau membawa maksud plaintif adalah makhluk seram, sesuatu yang menakutkan, jahat, hodoh, menjijikkann atau tidak berperikemanusiaan.
Pembelaan itu yang difailkan pada 9 Julai lalu menerusi Tetuan Karpal Singh & Co. menyatakan, segala kenyataan dan paparan visual dalam persembahan itu perlu dibaca, ditafsirkan dan difahami dalam konteks penuh persembahan komedi berdiri.
Ia termasuk rutin komedi, naratif, cara penyampaian, nada, masa penyampaian, reaksi penonton, interaksi dengan penonton, penafian (disclaimers) serta peraturan rumah (house rules) yang diberikan sebelum dan semasa persembahan dilakukan.
Defendan turut menyatakan, beliau tidak mengenali pemilik atau pengguna akaun TikTok @mayychan0303, tidak menyebabkan atau memberi kuasa atau persetujuan kepada penerbitan dalam laman sosial itu serta tidak mempunyai kawalan ke atas kandungan atau penyebarannya.
“Penerbitan TikTok yang mengandungi kenyataan fitnah telah dibuat tanpa pengetahuan atau persetujuan defendan.
“Ia turut bertentangan dengan arahan nyata defendan kepada semua penonton bahawa sebarang rakaman audio, video atau fotografi semasa persembahan komedi berdiri, adalah dilarang.
“Penerbitan TikTok yang mengandungi kenyataan yang dikatakan fitnah, tidak merangkumi konteks penuh persembahan komedi tersebut,” ujarnya.
Defendan turut menyatakan, persembahan komedi tersebut merangkumi keseluruhan rutin komedi, interaksi dengan penonton, cara penyampaian, masa penyampaian, penjelasan, arahan, penafian (disclaimers) dan peraturan rumah (house rules) yang diberikan sebelum dan semasa persembahan.
Selain itu, katanya, sebarang rakaman atau petikan yang kemudiannya dimuat naik ke media sosial oleh pihak ketiga merupakan suatu penerbitan yang berasingan daripada persembahan komedi tersebut dan tidak mewakili keseluruhan atau konteks sebenarnya.
Menurutnya, sebarang rujukan kepada watak-watak mitos, legenda atau cerita rakyat adalah rujukan yang bersifat fiksyen, figuratif dan satira, serta tidak akan difahami oleh seorang yang munasabah sebagai suatu kenyataan fakta atau dakwaan secara literal mengenai plaintif.
Defendan selanjutnya memplidkan bahawa imej plaintif hanya dipaparkan secara sepintas lalu selama kurang daripada lima saat sebagai sebahagian daripada keseluruhan persembahan yang berdurasi kira-kira 90 minit.
“Paparan tersebut adalah bersifat sementara, bukan merupakan tema utama atau fokus persembahan defendan, tidak diulang atau diberi penekanan yang berterusan dalam persembahan itu,” ujarnya yang memohon agar saman itu ditolak dengan kos.
Sementara itu, pada prosiding pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Anis Zainab Pawanteh hari ini, mahkamah menetapkan pemfailan jawapan kepada pembelaan dilakukan sebelum 30 Julai ini.
Peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff memberitahu pihak media, mahkamah turut menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 31 Julai bagi status pemfailan tersebut. – MalaysiaGazette
















