MELAKA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari menegaskan masih menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, walaupun wakil rakyat DAP menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, PH Melaka bagaimanapun belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung kedudukan gabungan itu dalam kerajaan negeri yang akan dibincangkan dalam mesyuarat PH Melaka esok.
Menurutnya, PH mempunyai mekanisme tersendiri dalam menyelesaikan sebarang isu yang melibatkan parti-parti komponennya sebelum sesuatu pendirian diumumkan.
“Esok Pakatan Harapan Melaka akan berbincang, pandangan semua ADUN dan parti-parti dalam PH akan diambil kira dan selepas itu kita akan maklumkan keputusan rasmi.
“Memang kalau kita lihat mereka (empat ADUN DAP) ada maklumkan tindakan (tarik sokongan) dan setiap parti dalam PH ada hak masing-masing untuk bertindak cuma bila dia bertindak atas nama PH, kita akan bincangkan secara konsensus.
“Ini dibuat tanpa menidakkan hasrat parti masing-masing…keutamaan kita tetap kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Seri Negeri hari ini, sehari selepas empat ADUN DAP mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri susulan kelulusan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 semalam.
Empat ADUN DAP berkenaan ialah Allex Seah Shoo Chin (PH-Kesidang), Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana), Leng Chau Yen (PH-Banda Hilir) dan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh)
Adly yang ADUN Bukit Katil menegaskan, pendirian PH semalam hanyalah menolak pindaan perlembagaan berhubung pelantikan ADUN lantikan atas faktor demokrasi, kos dan jumlah maksimum tujuh ADUN lantikan yang disifatkan terlalu tinggi.
Mengulas tindakan empat ADUN DAP melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri, beliau berkata ia melibatkan pemegang jawatan seperti Exco, Timbalan Exco dan Timbalan Speaker, manakala beliau sendiri tidak memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran negeri.
Pengerusi Amanah Melaka itu turut menyifatkan perpindahan tempat duduk dalam DUN selepas insiden itu telah menimbulkan kekeliruan dan sepatutnya tidak dilakukan.
“Saya lihat di pihak kerajaan negeri pun sepatutnya perpindahan kerusi itu tidak dibuat… sepatutnya hormati pandangan Perdana Menteri dan saya fikir itu menimbulkan kekeliruan yang besar.
“Sepatutnya boleh ditangguh kerana sidang kita tinggal satu hari sahaja lagi,” katanya.
Ditanya mengenai adakah kedudukannya dalam DUN di kerusi blok kerajaan menggambarkan sokongannya terhadap kepimpinan Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka, belau mengakuinya.
“Buat masa ini memanglah kita sebagai ADUN tahu Ketua Menteri seorang sahaja dan buat masa ini memanglah (sokong) ketua menteri.
“Apa-apa pun kita akan buat keputusan kita berkaitan lantikan-lantikan politik itu esok hari Khamis,” katanya. – MalaysiaGazette
















