KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan dakwaan kerajaan membelanjakan lebih banyak bagi perolehan ubat inovator berbanding ubat generik pada tahun 2025 adalah tidak selari dengan rekod rasmi kementerian.
Menurutnya, laporan media berhubung perkara itu yang memetik analisis dikongsikan oleh Pharmaniaga Berhad berkemungkinan berpunca daripada perbezaan sumber data serta skop perolehan yang digunakan.
KKM menjelaskan, Pharmaniaga Berhad melalui anak syarikatnya, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd merupakan syarikat yang dilantik bagi melaksanakan Konsesi Perkhidmatan Logistik Bekalan Perubatan KKM.
“Data bernilai RM3.495 bilion yang dilaporkan Pharmaniaga Berhad secara amnya merujuk kepada dua sumber data iaitu IQVIA, pangkalan data komersial yang menyediakan maklumat serta analisis berkaitan pasaran farmaseutikal, selain analisis dalaman syarikat berkenaan,” katanya.
KKM berkata, berdasarkan rekod perolehan rasmi bagi 2025, kementerian membelanjakan sejumlah RM3.86 bilion untuk ubat-ubatan meliputi tiga kaedah perolehan kerajaan iaitu melalui Konsesi Perkhidmatan Logistik Bekalan Perubatan KKM, Kontrak Pusat serta pembelian terus oleh fasiliti kesihatan KKM di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, ubat generik menjadi komponen utama dengan nilai perolehan RM3.01 bilion atau 77.88 peratus, melibatkan 3,170 daripada 3,982 jenis ubat yang diperoleh.
Manakala ubat inovator pula mencatatkan nilai perolehan RM850 juta atau 22.12 peratus, ujarnya.
KKM memaklumkan peratusan nilai perolehan ubat generik menunjukkan peningkatan ketara daripada 54.22 peratus pada 2021 kepada 77.88 peratus pada 2025, sejajar dengan Dasar Ubat Nasional (DUNas) yang mengutamakan penggunaan ubat generik.
Dalam masa sama, KKM berkata, pihaknya terus menyokong pembangunan industri farmaseutikal tempatan bagi memperkukuh keterjaminan bekalan ubat negara.
“Komitmen ini dizahirkan melalui peningkatan nilai perolehan ubat generik buatan tempatan daripada RM1.14 bilion (44.21 peratus) pada 2023 kepada RM1.49 bilion (49.57 peratus) pada 2025,” katanya.
KKM turut mengingatkan semua pihak supaya menyemak ketepatan data, sumber maklumat dan skop analisis terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan atau rumusan berkaitan perolehan ubat-ubatan kementerian.
Menurut kementerian, keutamaan sentiasa diberikan kepada perolehan ubat yang berkualiti, selamat dan berkesan, selain memastikan pengurusan sumber awam dilaksanakan secara berhemah serta mampan.
“KKM akan terus memperkukuh dasar perolehan ubat berasaskan keperluan klinikal dan jaminan kesinambungan bekalan bagi memastikan akses saksama kepada ubat-ubatan berkualiti untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















