Orang awam menggunakan perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam pada hari pertama operasi ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Stesen Glenmarie 2, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 JUN 2026.

 

KUALA LUMPUR – MCA Selangor berharap pemimpin Pakatan Harapan (PH), khususnya Lim Guan Eng, Tony Pua dan Anthony Loke, dapat mengambil iktibar daripada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan menyedari bahawa kepentingan rakyat mengatasi politik kepartian dalam menjayakan projek LRT3 Shah Alam.

Naib Presiden MCA, Datuk Ir. Lawrence Low berkata, projek LRT3 yang dimulakan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan pelaburan penting dalam memperkukuh rangkaian pengangkutan awam negara.

Katanya, projek yang membawa manfaat nyata dan jangka panjang kepada rakyat tidak seharusnya ditangguhkan, dikecilkan skopnya atau diubah secara tidak perlu hanya kerana ia dimulakan oleh pentadbiran terdahulu.

“Apabila politik diutamakan, akhirnya rakyat yang menanggung kesannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lawrence yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor menegaskan, infrastruktur awam tidak seharusnya menjadi mangsa persaingan politik kerana sesuatu projek yang terbukti memberi manfaat kepada rakyat perlu diteruskan tanpa mengira kerajaan yang memulakannya.

Jelasnya, kerajaan yang bertanggungjawab ialah kerajaan yang mempunyai kematangan untuk meneruskan dasar dan projek yang memenuhi kepentingan negara dan bukannya membiarkan perbezaan politik menjejaskan kebajikan awam.

Dalam pada itu, MCA Selangor turut menyambut baik keputusan meneruskan pembinaan lima stesen LRT3 yang sebelum ini ditangguhkan iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

“Pembinaan semula stesen berkenaan penting bagi memastikan lebih banyak komuniti khususnya di Selangor menikmati jaringan perhubungan yang lebih baik serta akses kepada sistem pengangkutan awam moden dan efisien.

“MCA Selangor berharap Laluan LRT3 Shah Alam akan menjadi pemangkin kepada penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas, mengurangkan kesesakan lalu lintas, merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor,” katanya.

Tambah beliau, lebih penting lagi, projek berkenaan juga perlu menjadi peringatan bahawa dasar dan projek yang memberi manfaat kepada rakyat wajar diteruskan tanpa mengira perbezaan fahaman politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast