GEORGE TOWN – Pulau Pinang hari ini melakar sejarah baharu dalam sektor bekalan air apabila Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memeterai Perjanjian Bekalan Air Pukal (BWSA) bersyarat dengan Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn. Bhd. (PAIP Perak) bagi menjamin kecukupan bekalan air negeri ini untuk tempoh 40 tahun bermula 2032.
Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi PBAPP dan PBA Holdings Bhd. (PBAHB), Chow Kon Yeow berkata, perjanjian itu merupakan paling signifikan dalam sejarah bekalan air negeri sejak pelaksanaan Skim Air Sungai Muda pada 1973.
Menurutnya, Pulau Pinang memerlukan sumber bekalan air kedua berikutan peningkatan permintaan yang dijangka mencecah 1,162 juta liter sehari (JLH) menjelang 2032 berbanding penggunaan semasa sebanyak 865 JLH pada tahun lalu.
“Pulau Pinang tidak lagi mempunyai sumber air mentah utama dalam negeri yang mampu memenuhi keperluan pada dekad 2030-an.
“Melalui projek ini, Perak bersedia membekalkan antara 300 hingga 500 JLH air terawat kepada Pulau Pinang bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Kon Yeow, pelaksanaan perjanjian itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta pemegang saham PBAHB.
Katanya, PBAPP tidak akan menanggung kos pembangunan infrastruktur projek di Perak yang dianggarkan berjumlah RM8.4 bilion kerana ia akan dibiayai sepenuhnya oleh PAIP Perak.
“PBAPP juga tidak akan menanggung kos pengambilan tanah, caj air mentah atau perbelanjaan operasi bagi mengendalikan infrastruktur bekalan air di Perak.
“Projek berkenaan tidak menggantikan Sungai Muda sebagai sumber utama air mentah Pulau Pinang, sebaliknya berfungsi sebagai sumber kedua bagi meningkatkan keselamatan bekalan air serta mengurangkan risiko gangguan akibat perubahan iklim dan fenomena El Niño.
“Malah PBAPP turut meneliti penggunaan teknologi penyahgaraman air laut sebagai pelengkap kepada projek berkenaan bagi memperkukuhkan jaminan bekalan air jangka panjang negeri,” katanya. – MalaysiaGazette
















