pinjaman Felcra
FELCRA Berhad

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengingatkan FELCRA Berhad supaya mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi perolehan aset komersial bagi mengelakkan risiko kerugian pada masa depan susulan kelemahan tadbir urus yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pematuhan terhadap SOP yang diperkukuh itu amat kritikal bagi memastikan kelestarian pelaburan serta menjamin kestabilan kewangan jangka panjang syarikat.

“FELCRA Berhad hendaklah serius dalam melaksanakan tindakan yang disyorkan dan mematuhi segala keperluan berkanun yang telah ditetapkan.

“PAC menegaskan bahawa pematuhan mutlak terhadap SOP perolehan baharu yang telah diperkukuh adalah amat kritikal bagi memastikan kelestarian pelaburan dan mengelakkan sebarang risiko kerugian pada masa hadapan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena pembentangan Penyata PAC berhubung tindakan susulan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta FELCRA terhadap sembilan syor yang dikemukakan jawatankuasa itu susulan siasatan mengenai pengurusan perolehan empat ladang sawit komersial.

Menurut PAC, antara penambahbaikan yang dilaksanakan FELCRA ialah mewajibkan laporan penilaian daya maju oleh perunding luar dibentangkan kepada Lembaga Pengarah sebelum sebarang keputusan dibuat.

Selain itu, syarikat berkenaan turut memperkenalkan tempoh bertenang (cooling-off period) antara 15 hingga 30 hari sebelum sesuatu perjanjian dimeterai bagi mengelakkan keputusan dibuat secara tergesa-gesa.

Bagaimanapun PAC berkata, keberkesanan SOP baharu itu masih belum dapat dinilai memandangkan FELCRA belum melaksanakan sebarang perolehan aset komersial baharu.

Dalam perkembangan sama PAC memaklumkan, semakan semula unjuran pulangan pelaburan (ROI) bagi empat estet komersial mendapati tempoh pulangan untuk Estet Telupid berubah daripada sembilan tahun kepada 19 tahun atau sehingga 2040.

Menurut jawatankuasa itu, perubahan tersebut dibuat selepas mengambil kira harga minyak sawit mentah yang lebih realistik, faktor umur pokok, peningkatan kos operasi serta keperluan program tanam semula secara besar-besaran.

Sehubungan itu, PAC menggesa supaya simulasi kewangan bagi pelaburan pada masa depan turut mengintegrasikan analisis titik pulang modal (break-even analysis).

Pada masa sama, PAC mengambil maklum keputusan FELCRA menangguhkan sebarang perolehan baharu land bank komersial bagi mengurangkan beban kewangan syarikat.

Sebaliknya, syarikat itu akan memberi keutamaan kepada Program Tanam Semula Estet membabitkan peruntukan RM52 juta meliputi kawasan seluas 1,846 hektar.

PAC turut menyentuh isu kebergantungan FELCRA terhadap tenaga kerja asing yang masih mencecah 90 peratus, namun mengambil maklum strategi syarikat untuk meningkatkan mekanisasi, menyediakan insentif khusus dan menaik taraf kemudahan kediaman bagi menarik lebih ramai pekerja tempatan.

Selain itu, jawatankuasa itu menyambut baik langkah Kementerian Kewangan menggunakan sistem pelaporan GCAIS 2.0 bagi membolehkan wakil kementerian dalam Lembaga Pengarah melaporkan sebarang isu kritikal atau red flags dengan lebih cepat dan berkesan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast