Ahli Parlimen Klang, V, Ganabatirau

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) perlu menjadikan perkembangan politik dan keputusan pilihan raya mutakhir sebagai medan muhasabah untuk kembali memperkukuh prinsip Reformasi, selain memberi perhatian segera terhadap kebimbangan yang dibangkitkan masyarakat India dan Cina, kata Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman.

Beliau berkata, PH perlu kembali menghayati nilai yang menjadi asas perjuangan gabungan itu iaitu keadilan, kesaksamaan, tadbir urus yang baik dan keterangkuman bagi mengembalikan keyakinan rakyat.

Menurutnya, kestabilan politik sememangnya penting, namun ia tidak seharusnya dicapai dengan mengorbankan prinsip perjuangan yang menjadi tunjang kepada PH sejak penubuhannya.

“Kerajaan perlu membuktikan melalui tindakan bahawa komitmen terhadap reformasi institusi, ketelusan, akauntabiliti dan dasar yang benar-benar meningkatkan taraf hidup rakyat masih menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ganabatirau berkata, antara perkara yang memerlukan perhatian segera ialah kebimbangan yang terus disuarakan oleh masyarakat India dan Cina berkaitan isu diskriminasi kaum dan agama, peluang pendidikan yang adil.

Juga dibimbangi ialah cabaran sosioekonomi serta perlindungan terhadap hak-hak yang dijamin Perlembagaan.

Katanya, setiap rakyat Malaysia berhak dilayan secara adil, bermaruah dan diberi peluang sama rata tanpa mengira kaum atau agama.

Beliau turut menggesa kerajaan mengambil langkah lebih tegas dalam memperkukuh keharmonian antara kaum dan agama dengan tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk hasutan, ucapan kebencian atau fahaman ekstrem yang boleh mengancam perpaduan negara.

“Malaysia perlu terus memupuk sikap kesederhanaan, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain supaya kepelbagaian yang dimiliki kekal menjadi kekuatan negara,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan perlu memberi perhatian lebih bermakna terhadap aspirasi masyarakat India dan Cina termasuk memastikan akses kepada pendidikan berkualiti, memperkukuh sokongan kepada sekolah vernakular dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), memperluaskan peluang dalam pendidikan tinggi serta pembangunan ekonomi.

Beliau berkata, rumah ibadat semua agama juga perlu terus dipelihara di samping memastikan dasar kerajaan tidak meminggirkan mana-mana komuniti.

Ganabatirau berkata, masa depan PH bukan sahaja bergantung kepada keupayaannya mentadbir, tetapi juga kesediaan mempertahankan prinsip perjuangan yang menjadi asas penubuhan gabungan itu.

Katanya, keyakinan rakyat hanya dapat dipulihkan sekiranya kerajaan benar-benar mendengar suara rakyat, memahami aspirasi mereka dan melaksanakan reformasi yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast