Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto MALAYSIAGAZETTE, 23 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,688 projek pelaburan sektor pembuatan bernilai RM318.5 bilion yang diluluskan antara 2023 hingga Mac 2026 telah berjaya direalisasikan, sekali gus mewujudkan 210,546 peluang pekerjaan baharu di seluruh negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jumlah tersebut merangkumi pelaburan domestik (DI) bernilai RM63.3 bilion atau 19.9 peratus serta pelaburan asing (FI) sebanyak RM255.2 bilion atau 80.1 peratus.

Menurut beliau, berdasarkan takrifan yang digunakan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sesuatu pelaburan sektor pembuatan dianggap telah direalisasikan apabila projek berkenaan mula beroperasi, memulakan pemasangan mesin atau memulakan pembinaan serta penyewaan kilang, bangunan atau gudang.

“Secara umumnya, projek yang diluluskan mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk dilaksanakan bergantung kepada tahap kerumitan, skala projek serta keadaan ekonomi semasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai kemajuan pelaburan domestik dan asing yang diluluskan sejak 2023 termasuk nilai pelaburan yang telah direalisasikan, jumlah pekerjaan sebenar yang diwujudkan berbanding unjuran awal serta prestasi mengikut negeri.

Johari berkata, Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan merekodkan nilai pelaburan pembuatan direalisasikan tertinggi dengan sumbangan sebanyak 84.3 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang direalisasikan dalam tempoh tersebut.

Pada masa sama beliau memaklumkan, Malaysia telah meluluskan sebanyak 3,847 projek pelaburan sektor pembuatan bernilai RM427.9 bilion bagi tempoh 2023 hingga Mac 2026 yang dijangka mewujudkan 302,058 peluang pekerjaan baharu.

Daripada jumlah itu, pelaburan domestik menyumbang RM93.9 bilion atau 21.9 peratus, manakala pelaburan asing berjumlah RM334 bilion atau 78.1 peratus.

Lima negeri yang sama iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan turut menyumbang 81 peratus daripada keseluruhan pelaburan sektor pembuatan yang diluluskan, sekali gus mencerminkan kekuatan ekosistem perindustrian dan infrastruktur sedia ada di negeri-negeri berkenaan.

“Kerajaan Madani menerusi MITI dan MIDA kekal komited memastikan pelaburan yang diluluskan dapat direalisasikan pada kadar yang tinggi dan dalam tempoh munasabah.

“Ini sekali gus menjana kesan limpahan ekonomi termasuk peluang perniagaan serta penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast