COLOMBO – Sri Lanka memperhebat usaha membendung penularan demam denggi menerusi operasi bersama pihak tentera selepas jumlah kematian akibat penyakit bawaan nyamuk itu meningkat kepada 49 orang sejak awal tahun ini.
Negara kepulauan di Asia Selatan itu mengerahkan anggota tentera sejak bulan lalu bagi mengenal pasti dan memusnahkan lokasi pembiakan nyamuk.
Bermula Khamis, jumlah petugas perubatan dan anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi itu akan digandakan dengan memberi tumpuan kepada ibu negara Colombo serta dua daerah berhampiran yang mencatatkan kes tertinggi.
Ketua Unit Kawalan Denggi Kebangsaan, Kapila Kannangara berkata, operasi baharu itu akan diperluaskan ke lebih banyak kawasan dengan penambahan kakitangan dan anggota keselamatan.
“Kami akan melancarkan operasi baharu mulai esok bagi meliputi lebih banyak kawasan dengan tambahan petugas serta anggota keselamatan,” katanya.
Demam denggi boleh menyebabkan demam panas, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot dan dalam kes yang serius, pendarahan yang boleh membawa maut.
Data rasmi menunjukkan seramai 61,057 individu dijangkiti denggi dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, lebih dua kali ganda berbanding 30,060 kes yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2025.
Lebih 15,000 kes baharu dilaporkan pada bulan ini sahaja.
Bagaimanapun, angka itu masih lebih rendah berbanding rekod pada 2017 yang menyaksikan 186,000 kes dan 440 kematian akibat denggi.
Pihak berkuasa berkata, penularan virus itu perlu dikawal segera bagi mengelakkan kesesakan di hospital.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi amaran bahawa denggi dan penyakit bawaan nyamuk lain semakin menular dengan lebih pantas dan meluas akibat perubahan iklim. – Agensi
















