Anggota pasukan HAZMAT memakai pakaian pelindung diri (PPE) lengkap sebelum menjalankan kerja pembersihan dan pengasingan bahan berkenaan menggunakan serbuk sulfur.

GEORGE TOWN – Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dikerahkan ke sebuah sekolah di sini, hari ini susulan termometer pecah yang mengakibatkan tumpahan merkuri di dalam makmal.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.03 tengah hari.

Beliau berkata, operasi dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru dengan bantuan BBP Jalan Perak, termasuk Pasukan HAZMAT BBP Bayan Baru.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah termometer berkapasiti dua mililiter (ml) pecah di dalam makmal sekolah sehingga menyebabkan berlaku tumpahan merkuri.

“Pasukan HAZMAT yang memakai pakaian pelindung diri (PPE) lengkap kemudian menjalankan kerja pembersihan dan pengasingan bahan berkenaan menggunakan serbuk sulfur sebelum dimasukkan ke dalam bekas khas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kejadian itu tidak membabitkan sebarang mangsa kerana ketika insiden berlaku hanya seorang guru berada di dalam makmal bagi mengendalikan termometer berkenaan, manakala tiada murid berada di lokasi.

“Operasi ditamatkan pada jam 2.49 petang selepas pasukan bomba selesai menjalankan kerja nyah cemar dan memastikan kawasan berkenaan berada dalam keadaan selamat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast