Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain

GEORGE TOWN – Tidak puas hati berkaitan urusan pemeriksaan dipercayai menjadi punca seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) diugut untuk ditembak oleh seorang individu yang dipercayai ejen ketika bertugas di Pelabuhan Klang, Selangor.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, semakan mendapati pegawai terbabit hanya menjalankan pemeriksaan mengikut prosedur operasi yang ditetapkan sebelum berlaku salah faham dengan individu berkenaan.

Katanya, individu terbabit juga didakwa tidak memberikan kerjasama pada peringkat awal pemeriksaan.

Mohd Shuhaily.

“Apabila kita semak, individu itu sendiri agak kurang memberi kerjasama pada peringkat awal, manakala pegawai kita hanya meneruskan tugas.

“Berlaku sedikit salah faham dan akhirnya dia membuat ugutan secara terbuka dan didengari oleh beberapa orang lain di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Persidangan Persatuan Kriminologi Asia (ACS) ke-17 yang bertemakan Sorotan Kontemporari Trend dan Corak Jenayah: Impak Kriminologi di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/07/14/pegawai-akps-pelabuhan-klang-terima-ugutan-tembak-ketika-bertugas/

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tidak akan mengulas lanjut mengenai tindakan yang bakal diambil kerana ia berada di bawah bidang kuasa polis.

Mengulas mengenai keperluan melengkapkan pegawai AKPS dengan senjata api susulan insiden ugutan berkenaan, beliau mengakui perkara itu wajar dipercepatkan.

“Sepatutnya begitu dan saya rasa pihak kementerian sedang berusaha untuk melaksanakan perolehan tersebut,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan AKPS membuat laporan polis berhubung tindakan seorang individu yang dipercayai ejen mengugut untuk menembak pegawai penguat kuasanya ketika bertugas di Pelabuhan Klang.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast