JOHOR BAHRU – Tiga warga tempatan termasuk majikan dan lapan warga asing ditahan kerana terlibat kes bunuh seorang lelaki warga asing yang ditemui berlumuran darah sebelum maut di Taman Universiti di sini pada 28 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian tersebut pukul 2.27 pagi.
“Orang awam berkenaan memaklumkan terdapat seorang lelaki bangsa tidak pasti terbaring dalam keadaan berlumuran darah di kaki lima salah sebuah bangunan kedai di kawasan Taman Universiti.
“Susulan itu mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dikenal pasti sebagai seorang lelaki warganegara asing, berumur 33 tahun dan bekerja di Malaysia.
Jelasnya, kes itu pada awalnya diklasifikasikan bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata.
Walau bagaimanapun ujarnya, mangsa disahkan meninggal dunia pukul 10.23 malam pada 4 Julai lalu setelah menerima rawatan selama lapan hari di HSA.
Susulan itu katanya, pada 11.45 pagi esoknya bedah siasat ke atas mangsa dijalankan dan doktor mengesahkan punca kematian mangsa adalah blunt trauma to the head.
Justeru katanya, pihak polis mengklasifikasikan semula siasatan kes tersebut bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.
“Bertindak atas maklumat, pada 5 hingga 6 Julai 2026, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9), IPD Johor Bahru Utara dan Jabatan Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor telah menjalankan beberapa serbuan,” katanya.
Radin Ramlan memberitahu, dua lelaki dan seorang wanita tempatan termasuk majikan mangsa berusia 36 hingga 37 tahun ditahan.
Jelasnya, turut ditahan lapan warganegara asing berusia antara 26 hingga 41 tahun yang merupakan rakan sekerja dan kenalan kepada mangsa.
Menurutnya, mereka ditahan sekitar kawasan Skudai, Johor Bahru; Taman Bukit Indah dan Iskandar Puteri selain di Ayer Keroh, Melaka dan Ampang, Kuala Lumpur.
“Polis turut merampas beberapa barangan bagi tujuan siasatan. Hasil semakan mendapati bahawa semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Selain itu katanya, ujian air kencng mendapati semua suspek negatif dadah.
“Semua suspek direman selama 12 hari. Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan semuanya akan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini,” katanya lagi.
Beliau memaklumkan, suspek utama iaitu seorang lelaki warganegara asing akan dituduh bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan
Tambahnya, tiga suspek tempatan tersebut akan dituduh bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan manakala tujuh lelaki warganegara asing itu pula dituduh bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.- MalaysiaGazette















