JOHOR BAHRU – Bekas Pegawai Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Terrence Tey Zi Yang tampil memohon maaf berhubung kenyataannya yang didakwa menghina staf sebuah kedai serbaneka, 7-Eleven pada 12 Julai lalu.
Dia mengakui kesilapan besar tersebut dan mendakwa kenyataan tersebut dibuat dalam keadaan emosi tidak terkawal dan tanpa memikirkan kesan terhadap individu yang terlibat serta masyarakat secara keseluruhan.
“Saya sama sekali tidak berniat untuk merendah-rendahkan atau menghina kakitangan berkenaan mahupun mana-mana pekerja sektor runcit yang mencari rezeki secara halal dan bermaruah.
“Sebagai individu yang pernah berkhidmat untuk masyarakat, saya sepatutnya mempamerkan profesionalisme yang tinggi. Saya menghormati hak setiap pengundi untuk memilih mana-mana calon atau parti secara bebas tanpa sebarang prejudis.
“Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperlekehkan sesiapa.
“Dengan rasa rendah diri dan penuh keinsafan, saya memohon maaf kepada kakitangan 7-Eleven yang telah saya guris perasaannya, seluruh warga kerja 7-Eleven, semua pekerja sektor runcit, serta semua pihak yang telah terkesan dengan kenyataan saya,” katanya dalam kenyataan.
Dalam hantaran Instagram miliknya sebelum ini, Terrence menulis, “Pada jam 1 pagi ni, saya telah pergi ke 7-Eleven untuk beli mi Maggi. Staf sana yang bekerja syif malam berkata dia telah mengundi untuk Pannir (ADUN Perling, Johor). Patutlah kau kerja dengan 7e.”
Hantaran itu dimuat naik olehnya pada malam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Ahad lalu ketika DAP tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling kepada calon MIC mewakili Barisan Nasional (BN), P. Pannir Selvam.
Terrence menjelaskan, semasa hantaran tersebut dimuat naik, dia bukan lagi kakitangan Pejabat ADUN Perling mahupun DAP Perling.
“Oleh itu, hantaran tersebut dibuat sepenuhnya atas kapasiti peribadi dan sama sekali tidak mewakili pendirian DAP Perling atau Pejabat ADUN Perling.
“Saya menerima pengajaran ini dengan hati yang terbuka dan akan menjadikan insiden ini sebagai pengajaran untuk menjadi insan yang lebih matang, lebih berhemah dan lebih bertanggungjawab dalam setiap tutur kata serta tindakan saya,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















