Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan tindakan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) sebaliknya berpunca daripada kegagalan Pas menguruskan gabungan itu secara adil dan berpegang kepada prinsip kerjasama, dakwa Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, tidak timbul isu parti itu melakukan mufaraqah kerana parti itu masih kekal sebagai anggota PN.

Sebaliknya, beliau mendakwa tindakan Bersatu adalah tindak balas selepas Pas selaku Pengerusi PN yang dipegang Datuk Seri Dr Samsuri Moktar didakwa gagal menjalankan peranan sebagai peneraju gabungan dan berulang kali mengetepikan pandangan parti komponen lain.

“Bersatu masih anggota PN. Tidak timbul soal mufaraqah. Tindakan Bersatu menggunakan logo sendiri kerana selepas menjadi Pengerusi PN, Pas selaku ‘imam’ tidak melaksanakan urusan jemaah dengan betul dan berulang kali mengabaikan jemaah,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Tun Faisal berkata demikian membidas kenyataan Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan tindakan Bersatu sebagai mufaraqah perlu diperbetulkan kerana menurutnya, pihak yang terlebih dahulu memutuskan hubungan ialah Pas, bukannya Bersatu.

“Perlu diingatkan Annuar Musa bahawa Pas yang memutuskan hubungan dengan Bersatu, bukan Bersatu yang memutuskan hubungan dengan Pas. Ini dilakukan ketika PN mahu berhadapan dengan PRN Johor. Apakah tujuannya?” soalnya.

Beliau turut mendakwa Pas sengaja melengah-lengahkan proses persiapan pilihan raya dan rundingan kerusi sehingga meletakkan parti-parti komponen PN dalam keadaan tertekan menjelang PRN Negeri Sembilan.

Menurutnya, mesyuarat rundingan kerusi pertama hanya diadakan pada 12 Julai lalu iaitu enam hari sebelum penamaan calon, sedangkan persiapan pilihan raya sepatutnya sudah lama dimuktamadkan.

Lebih mengejutkan, katanya, Pas didakwa mengakui mengadakan rundingan kerjasama dengan UMNO Barisan Nasional (BN) tanpa pengetahuan Majlis Tertinggi PN serta parti-parti komponen lain.

“Dalam mesyuarat itu, Pas mengaku membuat rundingan kerjasama dengan UMNO tanpa pengetahuan Majlis Tertinggi PN dan parti-parti anggota PN. Ini perkara besar kerana ia melibatkan hala tuju politik gabungan tetapi dibuat tanpa persetujuan bersama,” katanya.

Tun Faisal mendakwa tindakan Pas itu menunjukkan wujud usaha untuk mengenepikan Bersatu dalam proses rundingan kerusi termasuk menggunakan isu status korum Bersatu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai alasan.

Beliau menegaskan, Bersatu tidak terbubar hanya kerana isu korum dan menyifatkan tindakan membatalkan rundingan atas alasan tersebut sebagai cubaan mencari ruang untuk menyisihkan parti berkenaan.

“Seolah-olah Pas sengaja menjadikan soal korum ini sebagai alasan untuk mengenepikan Bersatu dalam mesyuarat rundingan kerusi seterusnya,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Pas yang didakwa hanya memanggil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai, selepas maklumat mengenai rundingan Pas-UMNO tersebar.

Menurut Tun Faisal, selepas beberapa siri tindakan yang didakwa melemahkan kerjasama PN, Bersatu perlu membuat keputusan mengenai penyertaan dalam PRN Negeri Sembilan termasuk menggunakan logo sendiri.

Beliau menegaskan keputusan itu bukan pengkhianatan terhadap PN, sebaliknya tindakan mempertahankan maruah parti selepas mendakwa Pas gagal menghormati semangat setiakawan dalam gabungan.

“Tindakan Bersatu bukan mufaraqah, tetapi tindakan yang perlu dibuat selepas Pengerusi PN dan Pas berulang kali mengabai dan mengkhianati jemaah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast