Gambar hiasan Parlimen
Bangunan Parlimen

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 yang bertujuan memperkukuh asas perundangan dana berkenaan menerusi mekanisme sumbangan yang lebih konsisten, pengeluaran dana yang lebih berdisiplin serta tadbir urus dan akauntabiliti yang lebih jelas.

RUU yang dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan oleh 15 Ahli Parlimen.

Ketika menggulung perbahasan, Chin Tong berkata, aset kumpulan KWAN berjumlah RM22.43 bilion setakat akhir 2024, dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kekal sebagai satu-satunya penyumbang sukarela yang telah menyumbang RM13.5 bilion sejak dana itu ditubuhkan pada 1988.

Menurut beliau, pengalaman menguruskan KWAN sepanjang tempoh tersebut, termasuk pengeluaran RM5 bilion pada 2021 yang mendapat perhatian umum, menunjukkan kerangka sedia ada perlu diperkasakan.

Katanya, di bawah sistem terdahulu, sumbangan kepada KWAN adalah bersifat budi bicara sepenuhnya, tanpa had pengeluaran yang jelas serta mempunyai tujuan penggunaan yang lebih umum.

“RUU ini digubal untuk memperkukuh kerangka KWAN melalui sumbangan berkanun, disiplin pengeluaran dana dan tadbir urus yang lebih moden,” katanya.

Chin Tong berkata, kadar sumbangan 0.1 peratus yang ditetapkan menerusi RUU itu merupakan kadar minimum bagi memastikan komitmen terhadap simpanan antara generasi kekal kukuh merentasi pelbagai kitaran fiskal dan pentadbiran kerajaan.

Beliau turut menjelaskan kadar tersebut hanya boleh diubah melalui pindaan undang-undang yang diluluskan Parlimen.

“Mana-mana kerajaan yang ingin mengubah kadar ini perlu membawa semula perkara itu ke Dewan Rakyat untuk mendapatkan kelulusan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast