Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

KUALA LUMPUR – Kerajaan terus memperkukuh keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) menerusi pendekatan bersepadu melibatkan agensi keselamatan Persekutuan dengan penambahan aset strategik, pemodenan keupayaan operasi serta peningkatan sistem pemantauan bagi mengekang ancaman keselamatan rentas sempadan di pantai timur Sabah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan ialah pemasangan sistem Big Eyes yang dilengkapi radar dan kamera jarak jauh di Pulau Ligitan, Tawau bagi meningkatkan keupayaan pengesanan awal di kawasan berisiko tinggi.

Menurutnya, langkah itu bertujuan mempertingkatkan keupayaan pemantauan, penguatkuasaan dan tindak balas pasukan keselamatan terhadap sebarang ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) di Dewan Rakyat hari ini mengenai jumlah aset baharu yang diperuntukkan kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan agensi keselamatan lain bagi memperkukuh kawalan keselamatan di pantai timur Sabah.

Shamsul Anuar berkata, kerajaan turut melaksanakan program pemodenan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melibatkan Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Khas, Komando VAT 69 dan Unit Tindakan Khas (UTK).

Bagi PPM, beliau berkata, sebuah Police Transport Vessel (PTV) untuk Lahad Datu kini dalam proses perolehan, manakala dua kapal peronda di Sandakan dan Lahad Datu sedang menjalani kerja-kerja baik pulih.

“Sebanyak 21 bot peronda akan ditempatkan di Sabah termasuk dua Fast Patrol Craft (FPC) untuk PPM di Sandakan dan Lahad Datu yang sedang dibina, selain enam Fast Patrol Vessel (FPV) yang akan ditempatkan di lokasi strategik seperti Sandakan, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tawau dan Semporna,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang memperoleh 10 bot operasi khas yang merangkumi empat bot tempur untuk PPM dan PGA serta beberapa bot taktikal PGA yang akan ditempatkan di Beluran, Kunak, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

Selain itu, tambahnya, bagi meningkatkan kesiapsiagaan operasi, kerajaan turut memperoleh 65 enjin sangkut luar (OBM) untuk kegunaan PPM dan PGA di Sabah.

“Kerajaan juga mendapatkan 12 unit enjin berkuasa 400 kuasa kuda bagi bot tempur Komando VAT 69 dan UTK yang beroperasi di Sandakan dan Semporna,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast