Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd Muttalib.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) digesa supaya menjelaskan dakwaan yang menimbulkan persoalan awam mengenai integriti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), termasuk sama ada pernah berlaku penahanan atau siasatan terhadap pegawai suruhanjaya itu oleh mana-mana agensi penguat kuasa.

Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) membuat gesaan itu ketika membahaskan perkara berkaitan keyakinan terhadap sistem kewangan negara di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, selain ketelusan pengurusan dana kerajaan, keyakinan pelabur turut bergantung kepada integriti dan kewibawaan institusi yang mengawal selia pasaran modal.

Beliau merujuk kepada laporan bertarikh media bertajuk “Kamu nak saya masuk penjara? Bos SC enggan ulas mafia korporat” yang menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai SC.

“Adakah Kementerian Kewangan selaku kementerian yang bertanggungjawab terhadap SC dapat mengesahkan sama ada pernah berlaku penahanan atau siasatan oleh mana-mana agensi penguat kuasa terhadap pegawai SC?

“Sekiranya tidak berlaku sebarang penahanan, apakah langkah yang telah diambil oleh kementerian untuk memberikan penjelasan rasmi bagi mengelakkan kekeliruan awam serta memelihara keyakinan pelabur dan rakyat terhadap integriti SC?” katanya.

Beliau turut menegaskan, ketelusan dan integriti dalam pentadbiran kerajaan amat penting bagi memastikan hasil negara dapat diurus dengan baik dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara.

Menurut Ismail lagi, keyakinan terhadap institusi kewangan dan pasaran modal perlu sentiasa dipelihara kerana ia menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi pelaburan serta pertumbuhan ekonomi negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast