KUALA LUMPUR – Reformasi pengurusan, pemerkasaan tadbir urus serta kebajikan peneroka dan generasi perlu jadi agenda utama Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang baharu, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dalam menerajui institusi itu.
Setiausaha Agung Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), Mohammad Syahiran Annuar berkata, demi memastikan institusi itu terus relevan penerajuinya perlu memahami sejarah penubuhan FELDA serta menterjemahkan aspirasi warga peneroka kepada dasar berkesan.
“FELDA tidak memerlukan sekadar seorang pengerusi yang mempunyai idea besar tetapi seorang pemimpin yang benar-benar memahami sejarah penubuhan FELDA, menghargai jasa peneroka serta mampu menterjemahkan aspirasi masyarakat FELDA kepada dasar yang berkesan.
“Idea yang baik sahaja tidak memadai. Kepimpinan yang berjaya ialah kepimpinan yang memahami denyut nadi komuniti, berani membuat pembaharuan, bersedia mendengar pandangan warga FELDA serta mampu membina keyakinan terhadap institusi melalui tindakan yang konsisten dan berintegriti,” katanya menerusi kenyataan kepada MalaysiaGazette.
Syahiran berkata, FELDA kini tidak lagi berdepan cabaran pembukaan tanah seperti ketika penubuhannya pada 1956 sebaliknya perlu menangani isu produktiviti ladang, kebun yang semakin berusia, transformasi digital, perubahan pasaran komoditi, pembangunan modal insan serta harapan generasi kedua dan ketiga.
Katanya, antara isu yang perlu diberi perhatian segera ialah meningkatkan ketelusan penyata hutang peneroka supaya lebih jelas dan mudah difahami, selain memperkukuh kecekapan pengurusan ladang di bawah FELDA dan Felda Plantation Management Sdn. Bhd. (FPM).
Jelas Syahiran, isu pewarisan tanah, peningkatan produktiviti hasil, penggunaan teknologi pertanian moden dan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap juga perlu menjadi keutamaan bagi memastikan FELDA kekal berdaya saing.
Pada masa sama, pembangunan generasi kedua dan ketiga FELDA perlu diperkasa melalui dasar yang memberi fokus kepada pendidikan, pembangunan modal insan, latihan kepimpinan, peningkatan kemahiran serta peluang pekerjaan.
Syahiran turut mencadangkan supaya kerajaan dan FELDA memastikan generasi FELDA yang berada di luar tanah rancangan terus diiktiraf dan dilibatkan dalam agenda pembangunan institusi berkenaan.
Selain itu, katanya, Tabung Usahawan Belia FELDA (TUBF) wajar diteruskan bagi memperluaskan peluang keusahawanan kepada golongan belia.
Terdahulu beliau mengalu-alukan pelantikan Ahmad Badri sebagai Pengerusi FELDA yang ke-13 menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau menyifatkan, kekuatan FELDA tidak bergantung kepada individu, sebaliknya kepada keupayaan institusi itu memelihara legasi peneroka, memperkukuh tadbir urus dan membina masa depan generasi FELDA. – MalaysiaGazette















