Presiden MIC, Tan Sri Dr SA Vigneswaran

KUALA LUMPUR – MIC mencabar Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke supaya menjelaskan kepada rakyat perbezaan prinsip antara Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pas sebelum terus mempertikaikan pendirian parti itu terhadap kemungkinan kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pas.

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, DAP tidak seharusnya mengamalkan politik dua darjat apabila boleh bekerjasama dengan Amanah, namun pada masa sama terus melabel Pas sebagai parti yang ekstrem atau ancaman.

“Saya cuma mahu Anthony jawab satu soalan. Apakah perbezaan prinsip antara Amanah dan Pas?

“Kalau beliau meminta saya berpegang kepada Pas, tetapi pada masa sama DAP boleh bekerjasama dengan Amanah, jadi apakah bezanya kedua-dua parti itu dari segi prinsip? Jangan sekadar memberi label,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Anthony Loke

Menurut Vigneswaran, beliau tidak melihat perbezaan ketara dari segi perjuangan kedua-dua parti itu sehingga DAP boleh menerima Amanah tetapi terus menggambarkan Pas sebagai ancaman.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana Pas boleh terus didakwa sebagai ancaman kepada masyarakat sedangkan parti itu masih berdaftar secara sah di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) seperti parti-parti politik lain.

“Kalau benar Pas adalah ancaman kepada masyarakat, bukankah kerajaan mempunyai kuasa dan pelbagai mekanisme undang-undang termasuk berkaitan isu 3R untuk mengambil tindakan?

“Jika Pas benar-benar melanggar undang-undang, mengapa ia masih dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah?” soalnya.

Menurut beliau, perdebatan politik sepatutnya tertumpu kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat seperti kos sara hidup, ekonomi dan peluang pekerjaan, bukannya terus memainkan persepsi terhadap parti tertentu.

Pada masa sama, Vigneswaran mendakwa naratif yang sering dibawa DAP mengenai Pas akhirnya hanya mengukuhkan lagi persepsi negatif masyarakat Melayu terhadap parti itu.

“Semakin isu ini dimainkan, semakin ramai orang Melayu menjauhkan diri daripada DAP. Kenapa DAP tidak menunjukkan bahawa mereka juga boleh memperjuangkan kepentingan orang Melayu?

“Jangan terus melihat segala-galanya daripada sudut politik sempit sehingga isu sebenar rakyat terpinggir.

“Hakikatnya DAP masih seperti tidak sedar rakyat semakin muak dengan polemik dan retorik sebegini demi kuasa, sudah-sudahlah,” tegasnya.

Terdahulu, Anthony dilaporkan mempersoalkan pendirian MIC dan MCA berhubung kemungkinan kerjasama BN dengan Pas pada PRN Negeri Sembilan, sambil menggesa kedua-dua parti komponen BN itu menyatakan pendirian secara terbuka kerana ia membabitkan soal prinsip dan hala tuju gabungan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast