MHO serah memorandum di JPN hari ini.

PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menghentikan amalan menolak secara automatik permohonan MyKAS bagi individu tanpa kewarganegaraan hanya kerana identiti ibu atau bapa mereka telah dikenal pasti.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, perkara itu merupakan antara cadangan utama yang dikemukakan menerusi memorandum yang diserahkan kepada Ketua Pengarah JPN hari ini bagi menambah baik Garis Panduan Pentadbiran dan Prosedur Operasi Standard (SOP) permohonan MyKAS.

Menurut beliau, MHO tidak memohon supaya kewarganegaraan diberikan secara automatik kepada mana-mana individu, sebaliknya mahu setiap permohonan dinilai berdasarkan fakta dan merit kes tanpa penolakan secara menyeluruh.

“MyKAS bukan kewarganegaraan. MyKAS ialah mekanisme dokumentasi. Apa yang dicadangkan MHO ialah supaya setiap permohonan dinilai berdasarkan fakta dan keadaan sebenar.

”Bukan ditolak secara automatik hanya kerana maklumat atau identiti ibu atau bapa telah dikenal pasti,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas menyerahkan memorandum itu di ibu pejabat JPN, di sini, hari ini.

Beliau berkata, cadangan berkenaan lahir daripada pengalaman MHO mengendalikan pelbagai kes melibatkan individu tanpa kewarganegaraan yang dilahirkan, dibesarkan dan menetap di Malaysia, namun masih gagal memperoleh sebarang bentuk dokumentasi rasmi.

Katanya, antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah terdapat permohonan MyKAS yang tidak dipertimbangkan apabila identiti ibu atau bapa telah dikenal pasti, walaupun keadaan itu tidak semestinya bermaksud pemohon mempunyai atau boleh memperoleh kewarganegaraan negara lain.

“Pendekatan ini menyebabkan ada individu yang terus berada dalam keadaan tidak berdokumen walaupun mereka telah lama tinggal di negara ini dan memerlukan dokumen pengenalan diri bagi meneruskan kehidupan,” ujarnya.

Hishamuddin berkata, memorandum itu turut mencadangkan supaya JPN memperkenalkan mekanisme penilaian secara kes demi kes, menyemak semula permohonan yang pernah ditolak serta menyediakan garis panduan pentadbiran lebih jelas bagi membantu pegawai membuat keputusan secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata, sistem dokumentasi yang lebih sistematik bukan sahaja mampu melindungi golongan yang benar-benar memerlukan, malah membantu kerajaan memperkukuh pengurusan data penduduk serta meningkatkan kecekapan pentadbiran.

“Malah, pendokumentasian yang lebih baik akan memperkukuhkan aspek keselamatan negara kerana identiti individu yang berada di Malaysia dapat dikenal pasti dengan lebih jelas,” ujarnya.

Menurut beliau, tanggapan bahawa pendokumentasian merupakan ancaman kepada keselamatan negara adalah tidak tepat kerana cabaran sebenar ialah kewujudan individu yang langsung tidak mempunyai sebarang bentuk identiti rasmi.

“Golongan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan sebenarnya lebih menyukarkan urusan pentadbiran, penguatkuasaan dan pemantauan berbanding mereka yang didaftarkan melalui mekanisme seperti MyKAS,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap memorandum berkenaan dipertimbangkan secara positif oleh JPN sebagai satu cadangan pembaharuan pentadbiran yang praktikal, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, perkembangan undang-undang semasa dan kepentingan negara.

Katanya, MHO juga berharap memorandum itu menjadi titik permulaan kepada perbincangan lebih konstruktif bersama JPN dalam usaha memperkukuh sistem dokumentasi negara tanpa menjejaskan dasar kewarganegaraan sedia ada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast