Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Negeri Sembilan Ke-16 di Dataran Melang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Foto AIZAT ZAINAL, 14 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Keputusan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun beralih arah dan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini disifatkan sebagai satu strategi serampang dua mata yang amat berani.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, langkah tersebut bukanlah satu tindakan untuk melarikan diri dari kawasan selesa, sebaliknya membuktikan kewibawaan Aminuddin sebagai seorang ‘pejuang’ demi menguji sejauh mana kekuatan sokongan rakyat terhadap kepimpinannya.

“DUN Linggi yang merupakan kawasan majoriti Melayu dengan 62 peratus serta dikenali sebagai kubu kuat UMNO.

“Ia bakal menjadi medan penentu mutlak kepada masa depan Pakatan Harapan (PH) di negeri tersebut.

“Saya nampak ini strategi tersendiri Datuk Seri Aminuddin. Kalau beliau menang di Linggi, maksudnya PH akan menang di Negeri Sembilan.

“Ini satu keberanian untuk mengukur kekuatan dan populariti beliau diterjemahkan kepada undi,” katanya merusi program bual bicara SKOP MG.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin

Dengan tajuk ‘PRN Negeri Sembilan: Pertahan Kubu Atau Tukar Kerajaan?’ Azman bersama seorang lagi panel iaitu penganalisis Sosiopolitik dari Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi.

Azman berkata, Aminuddin sudah tiga penggal di Sikamat yang merupakan kawasan selamat.

“Jadi wajar beliau serahkan kepada calon baharu.

“Kalau beliau kalah di Linggi, saya yakin Negeri Sembilan mungkin jatuh ke tangan pembangkang.

“Jadi beliau bukan lari, beliau bertindak sebagai pejuang,” katanya.

Pada sesi memperkenalkan calon PH baru-baru ini, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Aminuddin akan bertanding di DUN Linggi yang akan bersaing dengan penyandang di situ, Datuk Faizal Ramli dari Barisan Nasional.

Aminuddin menerusi hantaran di Facebooknya berkata, tindakannya meninggalkan atau ‘lari’ dari kubu kuatnya di Sikamat dibuat atas kehendak sendiri untuk terus berbakti kepada rakyat.

Untuk rekod, Sikamat merupakan tempat bermulanya perjalanan politik Aminuddin sejak 2008 apabila dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan terus mempertahankan kerusi itu selama empat penggal termasuk ketika dilantik sebagai Menteri Besar.

Perjuangan di Skimat akan diteruskan oleh calon Pakatan Harapan, Ustaz Norazman. –
MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast